Pilih hari mengundi yang tepat, pastikan pengundi keluar mengundi


Raevathi Supramaniam Noel Achariam

Dijangkakan jumlah pengundi keluar mengundi akan terjejas akibat banjir atau hujan lebat, apatah lagi ramai yang bosan dengan pergolakan politik sejak tiga tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2022.

DENGAN pembubaran Parlimen diumumkan semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memilih satu tarikh yang boleh memastikan jumlah pengundi keluar mengundi adalah ramai, kata pemerhati.

Gagal berbuat demikian akan menyebabkan rakyat Malaysia, yang sudah muak dengan politik, tidak keluar mengundi, kata mereka.

Langkah perlu diambil bagi memastikan mereka yang terjejas akibat banjir boleh melaksanakan hak perlembagaan mereka, tambah mereka.

Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann berkata satu tarikh yang memudahkan semua orang perlu dipilih.

“SPR perlu pilih hari yang paling sesuai untuk kebanyakan pengundi dalam tempoh 60 hari ini.

“Hujung minggu yang bergabung dengan hari cuti awam paling ideal,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah memperkenankan untuk membubarkan penggal Parlimen semasa yang dijadualkan tamat pada Julai tahun depan.

Susulan pembubaran itu, SPR ada 60 hari untuk menetapkan arikh penamaan calon, kempen dan hari mengundi.

Pembubaran Parlimen diadakan di ketika Ismail terus diasak untuk berbuat demikian oleh partinya, Umno.

Ismail dilantik sebagai perdana menteri selepas Muhyiddin Yassin digulingkan susulan hilang sokongan. Muhyiddin mengambil alih tugas itu pada 2020 selepas bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan akibat Langkah Sheraton, membawa kepada keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Fann berkata keputusan Putrajaya untuk mengadakan pilhan raya tanpa mengetahui dengan tepat bila negara akan berdepan dengan musim hujan, lebih berbentuk pentingkan diri.

“Bila kita sudah pun masuk ke musim hujan dan Jabatan Meteorologi Malaysia sudah memberi amaran ribut, hujan lebat dan banjir di kebanyakan tempat, tidak bertanggungjawab untuk PM dan partinya mendesak pilihan raya awal kerana secara politiknya, ia memberi keuntungan kepada mereka.

“Dijangkakan jumlah pengundi akan terjejas kerana banjir atau hujan lebat pada hari mengundi.

“Apatah lagi pengundi yang keluar mengundi dijangka lebih rendah berbanding 2018.

“Ditambah dengan pergolakan politik sejak tiga tahun lalu, ramai yang mempersoalkan adakah berbaloi atau tidak untuk mereka keluar mengundi.”

MetMalaysia memberi amaran bermula November hingga Mac tahun lalu, negara ini akan mengalami musim banjir.

Tahun lalu, banjir melanda 11 negeri menyebabkan kerugian jutaan ringgit apabila hartanah musnah, ribuan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara dan berpuluh-puluh nyawa terkorban. – 11 Oktober, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen