Selesai segera pembahagian kerusi PN Pahang, kata Muhyiddin


Muhyiddin sarankan PN bertanding dan bekerja di bawah satu jentera sahaja. – Gambar Facebook Muhyiddin Yassin, 10 Oktober, 2022.

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mahu rundingan pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang diselesaikan segera.

Beliau berkata pakatan itu tidak mempunyai masa panjang untuk menyelesaikan pembahagian kerusi memandangkan Parlimen telah dibubarkan hari ini di mana  Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

“... jika semua setuju, kami di (pimpinan) Pusat boleh mengendors dengan segera. Kita tanding dan kerja di bawah satu jentera sahaja. Bersatu, PAS atau Gerakan tak perlu ada markas berasingan. Kerja sebagai satu pasukan,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian semasa berucap melancarkan PN Pahang di Dewan Al-Makmur di Temerloh hari ini yang turut dihadiri Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Gerakan Dominic Lau Hoe Chai dan Pengerusi PN Pahang Saifuddin Abdullah.

Pahang dikuasai Barisan Nasional (BN) selepas BN menang 25 daripada 42 kerusi DUN pada pilihan raya lepas manakala bakinya milik Pakatan Harapan (9) dan PAS (8).

Bagi kerusi Parlimen, terdapat 14 kerusi Parlimen dengan 9 dimenangi BN dan Pakatan Harapan (4) manakala Bersatu memperoleh 1 kerusi selepas Saifuddin (Indera Mahkota) mengumumkan keluar PKR pada tahun 2020. – Bernama, 10 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen