5 maut banjir, tanah runtuh di Bali


Pasukan penyelamat membawa keluar pelancong asing yang terkandas di kawasan Badung, Bali. – Gambar Facebook Antarafoto, 10 Oktober, 2022.

LIMA maut dalam kejadian banjir dan tanah runtuh susulan cuaca ekstrem yang melanda sebahagian besar wilayah Bali, Indonesia menurut Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD).

Ketua BPBD Bali Rentin berkata hujan lebat serta angin kencang melanda sejak 12.30 tengah malam hingga 6.30 pagi waktu tempatan pada Jumaat.

Fenomena itu menyebabkan berlakunya tanah runtuh, pokok tumbang, jalan mendap dan banjir di  tujuh daerah, katanya dalam satu kenyataan.

Dua buah kereta tertimbus dalam kejadian tanah runtuh dan jalan mendap di Desa Gunaksa, Bangli menyebabkan tiga orang maut dan tiga lagi cedera.

Seorang pekerja pembinaan maut tertimbus akibat tanah runtuh yang berlaku di tapak projek jalan raya di Desa Taro, Gianyar manakala mayat mangsa banjir yang dihanyutkan arus deras ditemukan di Kota Denpasar.

Pemerintah Wilayah Bali memberikan pampasan 15 juta rupiah kepada keluarga mangsa dan 10 juta rupiah untuk kos perubatan bagi yang cedera.

Rentin berkata 33 pelancong termasuk 23 pelancong asing dipindahkan setelah penginapan mereka di Seminyak, Badung ditenggelami banjir hampir satu meter.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia mengeluarkan amaran cuaca ekstrem diramal melanda pulau percutian itu mulai semalam sehingga 15 Oktober. – Bernama, 10 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen