PAS kecewa bubar Parlimen tergesa-gesa


Diyana Ibrahim

Presiden PAS Abdul Hadi Awang kesal pembubaran Parlimen tidak dibuat selepas tamat tempoh penggal Parlimen ke-14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2022.

PAS menyatakan kekecewaan susulan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diumumkan petang tadi oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Presidennya Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan pembubaran dibuat secara tergesa-gesa kerana tidak menunggu habis tempoh penggal.

“PAS melahirkan rasa kecewa terhadap situasi yang berlaku sehingga Parlimen terpaksa dibubarkan dalam keadaan yang agak tergesa-gesa hanya dalam tempoh 4 tahun 5 bulan sahaja dalam Penggal Parlimen Ke-14,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS tetap optimis dengan usaha penyatuan ummah dan tidak akan digagalkan oleh agenda yang bukan untuk kepentingan awam dan negara.

Pada masa sama beliau menyeru rakyat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam PRU15 kelak.

Petang tadi Ismail Sabri mengumumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pembubaran Parlimen ke-14 yang berkuatkuasa hari ini.

Menurutnya langkah itu bagi menamatkan kritikan ke atas keabsahan pentadbiran kerajaan yang bertukar dua kali sejak pilihan raya umum 2018.

Dengan pengumuman pembubaran itu, PRU15 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Sementara itu, Pakatan Harapan pada 5 Oktober memutuskan DUN di tiga negeri yang ditadbirnya – Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen.

Sehari sebelumnya, PAS juga memutuskan langkah sama bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dikuasai parti itu. – 10 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen