Tidak bertanggungjawab bahayakan nyawa adakan PRU15 sekarang, kata Bersih


Malaysia dijangka dilanda musim tengkujuh pada pertengahan November.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2022.

GABUNGAN Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) berkata mengadakan pilihan raya pada musim tengkujuh yang membahayakan nyawa dan harta benda sebagai tidak bertanggungjawab.

Katanya keputusan kerajaan untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilhan raya merupakan tuntutan yang meragukan dalam mencapai kestabilan politik.

“Pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin terpaksa hentikan pengundian di kawasan yang terjejas atau jika terlalu banyak kawasan yang terjejas, seluruh negara perlu tangguh.

“Bersih juga kesal Parlimen dibubarkan sebelum Bajet 2023 diluluskan. Ini sangat menghina Parlimen apabila ‘gula-gula’ dalam bajet itu boleh disifatkan sebagai habuan pilihan raya parti perdana menteri walaupun ia tidak melalui debat di Parlimen untuk meneliti merit dan kosnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya mana-mana parti yang berkuasa selepas PRU15 perlu membentangkan semula bajet itu sambil memberi amaran ia bakal menjadi krisis yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan baharu jika bajet itu ditolak oleh rakan gabungannya.

Bersih memuji pendirian enam kerajaan negeri diperintah Pakatan Harapan dan PAS yang tidak akan membubarkan DUN secara serentak pada tahun ini bagi memfokus kepada bantuan banjir.

Pakatan Harapan pada 5 Oktober memutuskan DUN di tiga negeri yang ditadbirnya – Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen.

Sehari sebelumnya, PAS juga memutuskan langkah sama bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dikuasai parti itu.

Namun Bersih menggesa pengundi untuk keluar mengundi dan meminta SPR menyediakan permohonan undi pos segera untuk pengundi di luar negara.

Kata Bersih lagi, SPR juga perlu memberikan hak mengundi kepada pengundi dari Borneo yang tinggal di Semenanjung.

“Kaedah ini berpotensi beri hak kepada 2.5 juta pengundi yang layak,” katanya.

Hari ini, perdana menteri mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.

Katanya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan untuk membubarkan Parlimen ke-14 itu.

Beliau mengumumkan perkara itu melalui siaran langsung di televisyen pada jam 3 petang tadi.

Dengan pengumuman pembubaran itu, PRU15 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

SPR masih belum mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian namun rumor yang tersebar menyebut tarikh penamaan calon dijangka pada 22 Oktober ini dan pengundian pada 5 November depan.

Malaysia dijangka dilanda musim tengkujuh pada pertengahan November. – 10 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen