PEMIMPIN pembangkang menyeru rakyat bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menolak parti yang disifatkan menghancurkan negara.
Veteran politik DAP Lim Kit Siang berkata rakyat perlu membuat pilihan sama ada ingin memilih masa depan lebih baik atau kembali kepada kemunduran.
“PRU15 akan menjadi medan pertempuran di antara masa lepas dan masa hadapan, sama ada Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi dan negara gagal seperti Sri Lanka.
“Atau menjadi sebuah negara majmuk hebat yang bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata walau sukar, tidak mustahil rakyat akan dapat melakukannya sekali lagi selepas menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lepas.
“Perkara ini menjadi bukti terkuat bahawa Malaysia telah muncul kembali dari empat dekad kegelapan.
“Rakyat Malaysia kini perlu membuat pilihan,” katanya.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli pula berkata rakyat perlu menolak calon serta parti yang menyeleweng dan tidak ada idea menyelesaikan masalah selain culas dalam tanggungjawab.
Beliau berkata PKR akan berusaha menyakinkan rakyat untuk kembali kepada PKR dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU15.
“Ini usaha kita dan sejak reformasi tercetus 1998 dahulu, setiap PRU berjaya mengembalikan sedikit demi sedikit kuasa kepada rakyat,” katanya.
Ketua Penerangan Pejuang Ulya Hishamuddin turut membidas parti Umno dan BN kerana mengadakan pilihan raya umum ketika musim banjir.
Beliau berkata Umno sanggup perjudikan nyawa rakyat yang kehilangan harta benda akibat musibah semata-mata memuaskan nafsu politik.
Justeru rakyat perlu memilih dan membuat keputusan yang tepat bagi menolak parti yang gila kuasa, katanya.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam memperkenan permohonan untuk membubarkan Parlimen ke-14.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu bagi menamatkan kritikan ke atas keabsahan pentadbiran kerajaan yang bertukar dua kali sejak pilihan raya umum 2018.
Istana Negara pula dalam menyebut, baginda tiada pilihan selain memperkenan permohonan itu bagi membolehkan rakyat mendapat mandat memilih kerajaan yang stabil.
Baginda Al-Sultan Abdullah juga berharap pilihan raya umum diadakan dalam tempoh terdekat memandangkan musim tengkujuh diramal bermula pertengahan November.
Dengan pengumuman pembubaran itu, PRU15 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
PH pada 5 Oktober memutuskan DUN di tiga negeri yang ditadbirnya – Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen.
Sehari sebelumnya, PAS juga memutuskan langkah sama bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dikuasai parti itu. – 10 Oktober, 2022.
Komen