BN mohon maaf, janji tidak ulang kesilapan lalu


Ravin Palanisamy

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengakui gabungan itu melakukan kesilapan semasa ia menjadi kerajaan dan berjanji tidak mengulanginya lagi jika menang PRU15. – Gambar Facebook, 10 Oktober, 2022.

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi mengakui gabungan itu melakukan kesilapan semasa pentadbirannya sebelum ini dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Ketika pilihan raya semakin hampir dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dijangka membuat pengumuman khas petang ini, kemungkinan besar mengenai pembubaran Parlimen, Zahid berkata gabungan itu menyedari kesilapan mereka selepas kalah pada pilihan raya umum lalu, dan mendakwa bersedia untuk menebusnya.

“Betul ada kelemahan, benar ada kekurangan. (Tetapi) kita perbaiki kelemahan dan kekurangan. Kita belajar daripada kekalahan (pada PRU14).

“Kami sedar kesilapan yang kami lakukan dan kami memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan.

“Tetapi pada PRU15, selepas kita membetulkan kelemahan dan kesilapan kita, BN akan muncul sebagai parti pemerintah baharu, yang akan menjadi kerajaan lebih baik untuk semua rakyat Malaysia,” kata presiden Umno itu pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-76.

Pada 2018, kemenangan bersejarah Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 menamatkan penguasaan enam dekad BN.

Bagaimanapun, selepas hanya 22 bulan berkuasa, kerajaan PH tumbang selepas beberapa ahli Parlimen bertukar pakatan politik, memberi laluan kepada Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri ke-8.

Tempoh pemerintahan Muhyiddin sebagai perdana menteri lebih singkat, apabila beliau meletakkan jawatan susulan kehilangan sokongan majoriti selepas 17 bulan bergelut pelbagai masalah.

Ismail Sabri daripada BN akhirnya menjadi perdana menteri ke-9, dengan sokongan ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional.

Zahid menegaskan kepentingan PRU15, menggelarnya sebagai “Ibu kepada semua pilihan raya umum”.

Ini kerana jika BN mengalami kekalahan, nasib mereka akan menjadi lebih buruk daripada yang dialamni selepas kalah PRU14, kata Zahid.

“Jadi dalam hal ini, saya berasa calon daripada MIC, Umno, MCA dan PBRS mesti menang secara dominan.

“Ia sekarang atau tidak sama sekali. Pilihan raya ini adalah ibu kepada semua pilihan raya umum,” katanya.

Justeru, Zahid berkata pembubaran Parlimen tidak boleh ditangguhkan lagi.

Beliau berkata jentera pilihan raya BN bersedia mengharungi banjir bagi berkempen demi kemenangan BN.

Bagaimanapun, beliau mengulangi mahu agar PRU15 diadakan sebelum musim banjir.

Zahid menambah, gabungan itu sentiasa bersedia dengan calon boleh menang untuk PRU jika ia diadakan dalam masa terdekat. – 10 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen