BN tak akan balas dendam jika menang PRU15, kata Zahid


Ravin Palanisamy

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi hari ini menghadiri Perhimpunan Agung MIC ke-76 di Mitec, Kuala Lumpur. – Gambar Facebook MIC, 10 Oktober, 2022.

BARISAN Nasional (BN) tidak akan balas dendam terhadap pembangkang yang mengheret pemimpin gabungan itu ke mahkamah sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya telah berjanji saya tidak akan membalas dendam. Kita tidak bersifat vindictive, tidak membalas dendam jika kita menang. Sebab kita orang baik-baik. 

“Kita merasakan bahawa politik dan kemenangan bukan berkenaan dendam. Bukan membalas dendam terhadap orang lain, terhadap lawan terutama seteru politik.

“Tidak pernah dalam sejarah BN kita balas dendam terhadap lawan politik,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC ke-76 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur hari ini. 

Zahid yang juga presiden Umno berkata BN tidak seperti PH yang berdendam, mengenakan tindakan mahkamah terhadap pemimpin-pemimpin BN selepas menang dalam PRU14.

“Kalau kita kecundang nasib kita lebih buruk daripada PRU14.

“Bukan saya saja kena dakwa, Tok Mat (Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan) you are in the waiting list. Tan Sri Vicky (Presiden MIC SA Vigneswaran) don’t laugh, you are also included.

“Saya dimangsakan, bossku (Najib Razak) dimangsakan dan kini beliau berada di dalam (penjara). 

“Yang kita mahu adalah keadilan dilaksanakan. Inilah akibat daripada kekalahan kita dalam PRU14. Saya tidak mahu yang berada di atas pentas ini dibawa ke mahkamah seperti nasib yang menimpa saya.

“Untuk mengelakkan itu kita mesti menang dengan cemerlang dalam PRU15,” katanya. – 10 Oktober, 2022.     

Berita penuh di sini
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen