PENERIMA skim Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) menghargai kenaikan bayaran yang diumumkan dan merancang menggunakan wang tersebut untuk menampung keperluan seharian.
Kumpulan dari keluarga berpendapatan rendah B40 ini berkata, mereka memerlukannya untuk membiayai perbelanjaan sekolah, keperluan dapur serta menjelaskan bil utiliti dan sewa rumah.
Seorang penerima, Nor Laila Md Nor, 38, dari Kuala Terengganu berkata, beliau amat memerlukannya kerana hilang sumber pendapatan kerana tidak lagi mampu bekerja.
Ibu tunggal dengan tiga anak itu memberitahu The Malaysian Insight, beliau kini bergantung sepenuhnya pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.
Beliau antara 8.7 juga penerima yang dapat menikmati bantuan RM3,000 dalam kategori baharu BKM yang diperkenal untuk golongan ibu atau bapa tunggal.
“Banyak yang boleh saya gunakan dengan wang BKM, untuk tampung beli ubat asma saya, boleh bagi perbelanjaan sekolah anak-anak dan boleh membantu selesaikan tunggakan sewa rumah.”
Bagi warga emas, Nazariah Md Taib, 60, bantuan tunai itu dapat digunakannya menjelaskan bayaran bil utiliti di rumah yang didiaminya seorang diri di Johor Bahru.
Beliau dalam kategori penerima BKM warga emas dan bujang yang layak menerima antara RM350 hingga RM600.
Nazariah berkata, bantuan itu juga sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya yang tidak mempunyai pendapatan tetap selepas kematian suami.
“Saya dapatlah guna duit itu untuk bayar elektrik dan air sebab saya pun tak ada pendapatan tetap.
“Walaupun dapat berperingkat tapi masih dapat membantu meringankan beban,” katanya yang tinggal di Johor Bahru.

Peniaga, Nik Ramsusilawati Nik Ramli, 37, dari Kuala Terengganu pula berkata, beliau akan menggunakan wang BKM bagi menampung perbelanjaan sekolah tiga anaknya.
Pengumuman kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2023 itu melayakkan beliau yang menanggung isi rumah dengan lima anggota keluarga menerima RM2,500 kali ini.
“Biasa duit BKM sebelum ini yang RM2,000 kita dapat itu memang untuk tampung belanja sekolah anak- anak.
“Tapi dapat secara berperingkat bukan sekali gus dan bagi saya OK sahaja buat macam ini, jadi tak adalah habis cepat duit,” katanya.
Jurukamera, Yusof Mohd Ali, 42, juga merancang akan menggunakan bantuan RM2,500 untuk keperluan persekolahan anak-anaknya.
“Bila ada BKM ini kurang beban kita sebagai ibu bapa, sebab kos barang keperluan bersekolah bagi empat orang anak sekarang bukan murah.
“Macam saya seorang yang menanggung sepenuhnya keluarga jadi memang membantu sangat duit BKM.
“Sekurang- kurangnya duit yang saya ada boleh simpan untuk kegunaan lain,” katanya.
Suri rumah Suratul Abdul Bakti, 42, di Tawau, Sabah pula berkata beliau akan mengkhususkan wang BKM itu untuk tujuan perbelanjaan seharian seperti membeli barangan dapur.
“Kalau sebelum ini wang itu kami guna untuk belanja harian beli barang dapur, belanja anak sekolah. Kali ini pun samalah. Cuma kali ini rasa legalah, bertambah nilai bantuan.
“Jadi bolehlah selesa sikit tidak terlalu sesak sebab saya masih ada lima anak dalam tanggungan dan hanya bergantung kepada pendapatan suami,” katanya.

Penerima BKM kategori bujang Mohd Hariz Mohd Ariffin, 31, pula merancang untuk menggunakan wang bantuan itu untuk menamatkan zaman bujangnya.
Namun begitu, bantuan tersebut juga akan digunakan untuk menampung keperluan diri selepas hilang sumber pendapatan akibat kemalangan sebelum ini.
“Kalau macam saya dalam kategori bujang jadi saya nak guna tambah untuk simpanan kahwin, kalau bolehlah.
“Lagipun wang BKM memang sangat membantu, disebabkan sebelum ini lima bulan saya tak dapat bekerja hilang pendapatan akibat kemalangan.
“Jadi saya terpaksa guna wang simpanan untuk sara diri,” kata anak jati Terengganu itu.
Pekerja gudang Shahqir Shamsokahar, 31, yang termasuk dalam kategori penerima BKM bujang juga merancang untuk menggunakan wang itu untuk membeli barangan keperluan keluarganya.
“BKM ini sangat membantu bagi yang memerlukan serta meringankan beban rakyat marhaen seperti saya,” katanya tinggal di Temerloh, Pahang.
Tukang masak, Norlely Suhana Rahim, 43, juga dari Temerloh Pahang turut gembira dengan kenaikan BKM bagi kategori ibu tunggal sehingga RM3,000.
Wanita itu berkata wang tersebut akan digunakan bagi tampung perbelanjaan saraan lima orang anak dan seorang cucu.
“Duit itu saya akan gunakan untuk beli barang dapur, beli barang keperluan anak - anak dan cuci. Selain itu boleh juga guna untuk beli ubat juga,” katanya. – 10 Oktober, 2022.
Komen