Semai rasa takut pada rakyat bukan strategi Pakatan


Chan Kok Leong

Setiausaha Sekretariat Saifuddin Abdullah berkata budaya ketakutan wujud di kalangan orang Melayu khususnya dengan DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) tidak akan mengambil jalan mudah dengan menyemai rasa takut untuk memperoleh sokongan dalam pilihan raya umum akan datang, kata Setiausaha Sekretariat Saifuddin Abdullah.

“Kami tidak mahu melakukannya kerana kami tidak mempercayainya. Kami tidak akan melakukan sehingga ke tahap itu dan kami sangat menghormati maruah pengundi.

“Jika ketakutan dibangkitkan, kerana ia adalah berasas seperti ketakutan terhadap cukai barangan dan perkhidmatan (GST) atau ketakutan akan berulangnya skandal 1Malaysia Development Bhd dan Pusat Fidlot Nasional.

“(Menakut-nakutkan) bukan niat atau strategi kami. Tetapi ada ketakutan yang berasas terhadap pembaziran dan rasuah,” kata Saifuddin di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata demikian pada forum “Mengatasi Budaya Ketakutan pada PRU14” yang dianjurkan oleh Institut Darul Ehsan.

Forum itu dimoderatorkan oleh Fahmi Samsudin dan turut menampilkan penyelidik Institut Pengajian dan Kemajuan Demokrasi (IESAD) Prof Dr Hamdan Mohd Salleh dan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Saifuddin berkata budaya ketakutan wujud di kalangan orang Melayu khususnya dengan DAP.

“Apabila kita pergi ke bawah kita masih menemui orang Melayu yang fikir Penasihat DAP Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri jika PH menang. Dan semua ini selepas Dr Mahathir Mohamad dinamakan sebagai calon perdana menteri bagi PH,” kata Saifuddin.

Ketakutan terbesar di kalangan orang Melayu ialah hak mereka dan Islam akan terhakis. Inilah yang dibangkitkan oleh pihak lawan PH, katanya.

Maria berkata budaya yang wujud di negara ini ialah rakyat Malaysia disuruh agar tidak mempersoalkan pihak berkuasa.

“Ketika saya bersama Bersih, kami terus diserang dan dilabel sebagai penyokong Israel, anti Islam dan anti pemerintah. Dan kami terpaksa memberi respons kepada mereka setiap hari. “

Ramai yang sudah diresapi dengan budaya ketakutan, katanya.

“Dengan mood yang lemah sekarang, 90% jumlah pengundi yang keluar boleh mengubah keadaan,” kata Maria.

“Dan jika orang tidak keluar untuk mengundi, kita menyerah kepada budaya ketakutan. Dan kerajaan akan meneruskan budaya ini dan mengenakan lebih banyak undang-undang untuk menyekat suara terhadap kerajaan.” – 1 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen