PAS dan Bersatu akan tetap bertanding menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15, kata pemimpin gabungan tersebut di negeri itu.
Pengerusi Bersatu Terengganu Razali Idris memberitahu The Malaysian Insight, setakat ini tiada sebarang arahan penukaran lambang biarpun PAS mahu bertanding dengan logo sendiri.
“Belum ada perubahan, keputusan sekarang masih lagi kekal dengan logo PN,” katanya dalam satu wawancara.
Kalangan pemimpin parti Islam itu mahu PAS kekal menggunakan lambang bulan di negeri yang dikuasainya pada waktu ini – Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Ia pertama kali dicadangkan ahli jawatankuasanya Mohd Zuhdi Marsuki yang mahu kelonggaran bertanding dengan lambang bulan di kawasan kubu kuat atau yang berpotensi dimenangi PAS.
Usul untuk menggunakan lambang bulan itu diluluskan sebagai resolusi dalam persidangan muktamar PAS bulan lalu tanpa bahas.
Pada masa sama Razali berkata Bersatu tidak melihat soal lambang tersebut sebagai isu yang sangat besar dan terbuka menerima apa sahaja cadangan yang boleh memberi kemenangan kepada PN.
Jelasnya ia bukan perkara baharu bagi Bersatu bertanding menggunakan logo parti lain kerana pernah menggunakan lambang PKR ketika menyertai gabungan Pakatan Harapan dalam PRU14.
“Kenyataan saya sebelum ini pun kita setuju sebab waktu itu saya nak meraikan pandangan pengarah pilihan raya negeri (Ariffin Deraman yang mempromosi usul berkenaan).
“Ini kerana bagi Bersatu, kita tidak rasa ia satu cadangan melampau, kalau itu bacaan yang betul (untuk) memenangkan PN di Terengganu. Jadi kita bersetuju asalkan masih di bawah kerangka PN.
“Kalau itu keputusan daripada pucuk pimpinan kita bersetuju, tak ada masalah untuk itu asalkan kita tak ada sikap buruk yang membelakangkan kawan,” katanya.
Malah beliau turut yakin PAS Terengganu juga akan patuh dengan apa sahaja keputusan daripada pemimpin tertinggi PN.
Usaha PAS hidupkan MN
Mengulas usaha PAS menyelamatkan kerjasama dengan Umno, beliau melihat sentimen pemimpin parti Islam itu di peringkat pusat tidak mempengaruhi lanskap politik di Terengganu.
Tambahnya perkembangan itu juga tidak menghalang tumpuan Bersatu negeri untuk bersaing di 10 kerusi DUN yang disandang Umno seperti diumumkan Mei lepas.

Biarpun agihan kerusi tersebut masih lagi belum dimuktamadkan, beliau percaya ia akan dapat diselesaikan secepat mungkin kerana pilihan raya umum akan berlaku pada bila-bila masa.
Razali juga berharap pemimpin tertinggi akan dapat mengagihkan kerusi untuk ditandingi PAS, Bersatu dan Gerakan secara saksama.
“Pengumuman Bersatu Terengganu sebelum ini yang mahu 10 kerusi itu cuma anggaran kasar, iaitu tumpuan Bersatu di kerusi Umno.
“Cuma sekarang kita masih belum siap memperincikan soal pembahagian kerusi.
“Sama ada 10 kerusi itu diberi kepada Bersatu sepenuhnya atau ada sebahagian kepada PAS. Itu masih lagi diperhalusi dan sedang diperincikan,” kata Razali.
Malah beliau yakin pertembungan tiga penjuru hampir pasti berlaku berdasarkan perbincangan awal PN mengenai pola pertandingan yang dijangka di Terengganu.
Jangkaannya itu juga disokong dengan pendirian konsisten Umno yang tetap mahu bertembung dengan PAS di Terengganu.
“Dalam pilihan raya umum kali ini sangat dinamik kalau kita tengok Terengganu dari awal PAS dan Umno tidak ada kerjasama.
“Dari awal (memang itulah ucapan) pimpinan tertinggi Umno Terengganu – Muafakat Nasional tak ada dan Umno akan bertanding di keseluruhan kerusi DUN dan Parlimen,” katanya.
Beliau menjangka PAS akan tetap mempertahankan kerusi yang dimenangi dan Bersatu tidak menyertai rundingan antara parti Islam itu dengan Umno.
“Saya jangka PAS akan berpegang apa yang mereka ada. Takkan nak serah kerusi sama rata dengan Umno saya rasa tak mungkin.
“Cuma kita tak tahulah macam mana percaturan mereka, Bersatu tak masuk campur.”
Razali sebaliknya lebih yakin kerjasama dengan Bersatu membantu PAS merampas kerusi Umno dengan mensasarkan pengundi baharu.
Kerusi yang disasarkan itu melibatkan kawasan dengan perbezaan kecil – kurang 1,000 – di antara jumlah undi diraih parti yang bertanding.
Tambahnya, maklum balas menunjukkan pengundi ini cenderung menyokong PN kerana sudah melihat dan menyukai prestasi Bersatu terutama ketika Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.
Selain itu dengan gabungan Bersatu dengan kepemimpinan PAS di Terengganu yang cemerlang akan menambah lagi keyakinan pengundi baharu ini menyokong PN, kata Razali.
“Kalau kita letak sasaran pengundi pertama kali bagi kerusi (dengan perbezaan bawah 1,000 undi) ini mereka nampak kecenderungan kepada PN dan bukan PAS atau Bersatu.
“Ia bukan berlaku di Terengganu sahaja di tempat lain pun sama. Jadi gabungan PAS dan Bersatu ini yang saya lihat pengundi baharu di kerusi bawah 1,000 undi akan beri peluang kepada PN.”
Setakat April 2022 jumlah pengundi baharu di Terengganu dilaporkan mencecah hampir 300,000 orang melibatkan kategori umur antara 18 hingga 20 tahun dan 21 tahun hingga 30 tahun. – 9 Oktober, 2022.
Komen