GOLONGAN peminjam masih tidak mampu menyelesaikan sepenuhnya baki pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) walau ditawarkan potongan sehingga 20%.
Peminjam ini memberitahu The Malaysian Insight, tawaran yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 itu sememangnya menarik tetapi mereka tetap memilih membuat bayaran secara bulanan.
Sekiranya dapat meraih wang tambahan, mereka akan menggunakannya untuk kegunaan harian berikutan tekanan kos sara hidup dan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Seorang pekerja sektor swasta, Aishah Ghani berkata beliau berminat dengan tawaran berkenaan, namun simpanannya tidak mencukupi.
“Tapi sayangnya duit simpanan tidak cukup, dengan gaji yang saya ada sekarang pun saya tidak mampu menyimpan kerana kenaikan kos sara hidup (dan tampung) komitmen.
“Jadi duit gaji saya hanya cukup-cukup untuk saraan bulanan sahaja. Jika nak simpan, tengoklah kalau ada lebih baru boleh,” kata Aishah, 27, kepada The Malaysian Insight.
Diskaun 20% bagi penyelesaian penuh itu diumumkan berkuat kuasa 1 November hingga 30 April 2023.
Selain itu kerajaan turut memberi tawaran diskaun 15% untuk menyelesaikan 50% baki hutang dan 15% untuk bayaran secara potongan gaji.
Seorang lagi peminjam, Jamilah Hariz, 36, berkata beliau juga tidak akan mengambil tawaran penyelesaian penuh dan akan terus membayar hutang PTPTN secara bulanan sahaja.
Jamilah berkata beliau tidak akan menggunakan wang simpanannya untuk tujuan itu kerana lebih memerlukannya untuk tujuan lain.
“Tidak… Saya tidak mahu gunakan wang simpanan untuk selesaikan hutang PTPTN sebab ada yang lebih penting terutama tahun depan diramalkan berlaku kemelesetan ekonomi.
“Duit simpanan saya tidak banyak dan perlu menyimpan untuk hal-hal kecemasan sahaja,” katanya.
Tambahnya kerajaan sepatutnya memberi lebih banyak potongan kerana rakyat masih terbeban dengan hutang dan kos sara hidup walaupun negara mula pulih dari pandemik Covid-19.
Seorang usahawan Adi Amri Ruzman, 32, pula berpendapat tidak ramai peminjam dapat mengambil peluang untuk menyelesaikan sepenuhnya hutang dengan tawaran potongan itu.
“Kecuali kalau baki hutang itu sedikit, nak bayar penuh tak ada masalah. Macam saya hutang RM50,000 potongan 20% sahaja.
“Baki nak bayar macam mana, kecuali (dapat durian runtuh),” kata graduan ijazah kejuruteraan dari universiti awam itu.
Pertimbangan serupa dinyatakan peminjam yang masih menanggung jumlah pinjaman besar kerana lebih rela menggunakannya untuk menampung perbelanjaan.
Ejen hartanah, Fikri Zaini berkata beliau memilih untuk menyimpan wang dari menyelesaikan terus hutang PTPTN kerana kadar faedah pinjaman itu masih rendah.
“Kadar faedah untuk hutang PTPTN masih rendah biarpun ada potongan 20%. Lebih baik saya simpan wang saya sebagai persediaan kemelesetan ekonomi tahun depan,” kata Fikri, 30.
Tindakan sama menjadi pilihan pekerja khidmat pelanggan, Philip Gerard Panirchelvam yang berpendapat tawaran 20% itu tidak berguna kerana baki hutangnya masih banyak.
“Dengan kos sara hidup yang tinggi, saya masih tak mampu atau nak dapatkan duit yang sebegitu banyak untuk selesaikan hutang,” kata Philip, 25.
Tawaran tersebut tetap disambut baik peminjam seperti seorang penyunting video, Muhammad Hambali Mohd Idrus, 26, yang berpendapat ia satu kaedah untuk menggalakkan bayaran.
“Saya yang memang bayar tiap bulan dari dulu tak kiralah kerajaan apa, tetap akan bayar. Jadi saya gembira bila ada pengurangan macam ini.
“Tapi bagi saya cara paling terbaik kerajaan kena tingkatkan kesedaran kepada masyarakat untuk bayar hutang mereka,” katanya.
Namun tawaran tersebut tidak dapat dinikmati peminjam yang sudahpun bergelut untuk membuat bayaran secara tetap.
Peniaga dalam talian, Zulaiha Szah, 27, berkata beliau sukar membuat bayaran kerana tekanan ekonomi.
“Untuk macam saya susah. Sebab dengan kos sara hidup sekarang. Nak bayar PTPTN setiap bulanan pun susah,” katanya.
Penulis, Azreena Md Zin, 27, pula gembira kerana akan dapat menikmati potongan 15% apabila terus membuat bayaran seperti biasa secara potongan secara bulanan.
Dengan cara itu, beliau dapat menggunakan wang yang disimpannya bagi tujuan pelaburan, katanya.
“Lebih baik saya bayar hutang saya macam biasa, potong bulanan dan simpan wang saya atau gunakan bagi tujuan pelaburan.
“Asalkan kita konsisten bayar tiap bulan dan ia tidak mempengaruhi atau menjejaskan kemampuan kita untuk beli rumah,” katanya. – 9 Oktober, 2022.
Komen