Zuraida sah jadi presiden baharu, kata PBM


Zuraida Kamaruddin yang menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) selepas meninggalkan Bersatu kini telah diangkat dan disahkan oleh PBM sebagai presiden baharunya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2022.

Majlis Tertinggi Parti Bangsa Malaysia (PBM) sudahpun mengesahkan pelantikan Zuraida Kamaruddin sebagai presiden baharu parti tersebut, menurut satu makluman parti itu.

Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad berkata, majlis tersebut turut mengesahkan enam lagi usul yang diluluskan Persidangan Agung Tahunan pada 1 Oktober.

Katanya, pengesahan berkenaan dijalankan Majlis Tertinggi semalam mengikut proses yang wajar dan sesuai dengan perlembagaan parti.

“Majlis Tertinggi juga ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Larry Sng yang telah memimpin parti sebelum ini,” kenyataan itu dipetik.

Pelantikan Zuraida sebagai presiden pada awalnya diumumkan Ketua Penerangan PBM Zakaria Abdul Hamid pada tarikh persidangan agung tersebut.

Pengumuman itu bagaimanapun dibantah Sng pada waktu itu yang menyebut, pelantikan berkenaan perlu mengikut perlembagaan parti.

Perubahan dalam struktur PBM itu ekoran penyertaan beberapa lagi ahli parlimen yang melompat parti dan membolehkan parti itu menguasai enam kawasan.

Mereka terdiri dari Zuraida (Ampang), Sng (Julau). Willie Mongin (Puncak Borneo), Steven Chong (Tebrau), Xavier Jayakumar (Kuala Langat) dan Edmund Santhara (Segamat). – 8 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen