Rayuan sabitan, hukuman kes rasuah Isa Samad didengar 7 Mac tahun depan


Pada 3 Februari tahun lepas, Mahkamah Tinggi mensabitkan bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan dengan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2022.

MAHKAMAH Rayuan menetapkan 7 Mac depan untuk mendengar rayuan bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad terhadap sabitan dan hukuman enam tahun penjara serta denda bagi kesalahan rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata sebelum pendengaran rayuan, pengurusan kes ditetapkan pada 21 Februari depan, dan pihak pendakwaan serta pembelaan perlu menfail hujah masing-masing pada 14 Februari.

Tarikh pendengaran itu ditetapkan berikutan pengurusan kes yang diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron hari ini.

Pada 3 Februari tahun lepas, Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd Isa, 72, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan dengan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan 54 tahun, serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan. 

Bagaimanapun Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta di samping menetapkan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan selesai, dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Feb 2021. – Bernama, 7 Oktober, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen