PBB lulus resolusi gesa Sri Lanka tangani krisis ekonomi


Sri Lanka yang mempunyai 22 juta penduduk mengalami kekurangan bahan api, makanan dan keperluan asas lain sejak tahun lalu. – Gambar EPA, 7 Oktober, 2022.

MAJLIS Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) pada Khamis meluluskan resolusi menggesa Sri Lanka menangani krisis ekonomi negara itu dan mendakwa pegawai kerajaan yang terbabit rasuah.

Melalui resolusi itu, UNHRC menggesa kerajaan Sri Lanka menangani krisis ekonomi semasa, termasuk menyiasat dan jika perlu, mendakwa orang awam serta bekas pegawai kerajaan yang terlibat rasuah.

Majlis turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesan ke atas hak asasi manusia ekoran krisis ekonomi, keganasan ke atas penunjuk perasaan aman, selain menggesa proses akauntabiliti menyeluruh dijalankan bagi semua pencabulan dan penyalahgunaan hak.

Resolusi 19 perkara itu dikemukakan 37 negara kebanyakannya negara Eropah.

Argentina, Britain, Perancis, Jerman, Mexico, Korea Selatan, Ukraine dan Amerika Syarikat antara negara yang meyokong.

Antara negara yang membantah termasuk China, Cuba, Eritrea dan Pakistan. Manakala 20 negara lagi termasuk Brazil, India, Indonesia dan Jepun berkecuali.

Sri Lanka bagaimanapun membantah resolusi tersebut.

Menteri luarnya Ali Sabry berkata Colombo “secara mutlak menolaknya”.

“Kami membantah sekeras-kerasnya,” beliau memberitahu dewan di Geneva, sambil menyifatkan ia mengenepikan kestabilan institusi dan politik di Sri Lanka.

Sri Lanka yang mempunyai 22 juta penduduk mengalami kekurangan bahan api, makanan dan keperluan asas lain, yang diburukkan lagi dengan hiperinflasi dan pemotongan elektrik berpanjangan sejak tahun lalu.

Sri Lanka gagal membayar hutang luar negeri sebanyak AS$51 bilion April lalu dan sejak itu berbincang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menyelamatkan negara itu daripada krisis.

Krisis ekonomi membawa kepada bantahan seluruh negara, menyaksikan Gotabaya Rajapaksa yang ketika itu presiden digulingkan pada pertengahan Julai atas dakwaan salah guna kuasa dan rasuah. – AFP, 6 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen