Umno, PAS akan tiada majoriti di Terengganu, kata Pakatan


Diyana Ibrahim

Pakatan Harapan Terengganu meramalkan Umno atau PAS tidak akan dapat majoriti pada PRU15 akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2022.  

PAKATAN Harapan (PH) tidak mengambil risiko apabila mahu bertanding semua kerusi Parlimen dan negeri di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata pengerusi PH negeri Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad biarpun prestasi mereka pada pilihan raya lepas tidak memberangsangkan.

Beliau yakin PH pada kali ini boleh jadi blok penentu untuk membentuk kerajaan di Terengganu kerana pesaing mereka Umno dalam Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) tidak akan menang majoriti mutlak.

Pakatan Harapan boleh menjadi penentu di Terengganu berdasarkan jangkaan tiada parti yang akan dapat majoriti mutlak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, kata pengerusinya Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Beliau yakin PH hanya perlu menang sekurang-kurangnya enam kerusi negeri untuk jadi penentu parti mana yang akan membentuk kerajaan di Terengganu.

“Ramalan kita baik Umno atau PAS tidak akan dapat majoriti. Perbezaan mungkin dalam satu atau dua kerusi. PAS mungkin dapat 13 kerusi dan Umno 12 kerusi.

“Kalau betul situasi itu, PH kita sasarkan dapat menang enam kerusi sahaja dah boleh membuatkan kita sebagai penentu bagi mana-mana parti membentuk kerajaan negeri,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight di Kuala Terengganu kelmarin.

Raja Kamarul yang juga pengerusi Amanah Terengganu berkata atas faktor itu PH memutuskan untuk bertanding di semula lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi negeri.

Ujarnya ia bukan langkah berisiko kerana PH yakin dapat memberi saingan untuk menang lebih enam kerusi di negeri pantai timur itu.

Apatah lagi beliau berkata lapan daripada 32 kerusi negeri di Terengganu berisiko kerana hanya dimenangi dengan majoriti bawah 1,000 undi pada PRU14.

Pengerusi PH Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata gabungan itu hanya perlu menang sekurang-kurangnya enam kerusi negeri untuk jadi penentu parti mana yang akan membentuk kerajaan di Terengganu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2022. 

Selain itu, beliau turut yakin PH semakin dikenali di Terengganu dan akan dapat menang mudah di kerusi bandar seperti di Kuala Terengganu dan Kemaman.

“Daripada kaji selidik yang kita buat lepas kekalahan PH di Terengganu pada PRU14, kita mendapati ramai pengundi kurang mengenali PH. Mereka merasakan PH tidak bersedia jadi kerajaan kerana tidak nampak apa pencapaian PH.

“Tapi kerana ada isu besar maka berlaku penolakan Najib Razak dan BN sebagai langkah protes dan sekarang ini mereka menyesal undi PAS,” katanya.

PH juga katanya ada rakam jejak jadi kerajaan selama 22 bulan dan ia boleh mengubah persepsi dan keyakinan pengundi.

Minggu lepas PH Terengganu mengumumkan akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN biarpun pernah kalah dan hilang wang pertaruhan deposit pada PRU14.

PAS pula menang di Terengganu dengan majoriti mudah pada PRU14.

Namun lapan kerusi DUN dimenangi PAS dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi.

Tujuh daripada lapan kerusi DUN itu dimenangi PAS antaranya Kota Puteri, Jabi, Ladang, Pengkalan Berangan, Kuala Berang dan Ajil.

Di peringkat Parlimen pula tiga dari enam kerusi dimenangi PAS juga dalam kedudukan bahaya kerana dimenangi dengan perbezaan kurang 10,000 undi.

Kerusi tersebut ialah Setiu, Kemaman dan juga Kuala Nerus yang mana wakilnya Mohd Khairuddin Aman Razali keluar PAS dan kini menjadi wakil rakyat bebas sejak Mac lepas.

Pertandingan tiga penjuru juga hampir pasti berlaku di Terengganu biarpun terdapat usaha daripada pimpinan tertinggi PAS dan Umno untuk menghidupkan kerjasama Muafakat Nasional pada PRU15.

Mengulas mengenai itu, Raja Kamarul berkata ia kerana perseteruan antara PAS dan Umno masih lagi menebal di Terengganu.

“Di Terengganu ini unik kerana, ketegangan itu masih ada lagi antara dua parti. Ahli parti masing-masing sebenarnya tidak boleh lupa bagaimana kejadian sembahyang dua iman, kafir mengkafirkan.

“Amanat Haji Hadi semasa ceramah di Kampong Banggol Peradong yang memang di Terengganu, ini tapaknya. Jadi nak berbaik semula itu agak mustahil,” katanya.

Calon muka baharu

Sementara itu Raja Kamarul juga berkata PH Terengganu sudah menyelesaikan pembahagian kerusi kecuali DUN Bandar yang akan diputuskan antara PKR dan DAP.

“Isu itu kita serahkan kepada Majlis Presiden PH tentukan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata PH Terengganu akan menampilkan 40% calon muda bawah 40 tahun.

Katanya, keputusan itu selari dengan kehendak rakyat yang mahukan perubahan kepimpinan.

“Kita nak bagi muka baharu nak tonjolkan anak muda sebab ini yang rakyat nak, mereka tak nak orang lama.

“Saya sendiri nak berehat tak nak bertanding tapi disebabkan saya ini ketua, pengerusi jadi terpaksalah bertanding,” katanya yang akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Terengganu. – 7 Oktober, 2022.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen