PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin melahirkan keyakinan PAS akan kekal bersama gabungan tersebut untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang secara bersama selepas laporan PAS masih meletakkan harapan untuk bekerjasama dengan Umno.
“InshaAllah, Insha Allah… istiqamah kita kata,” kata Muhyiddin.
Presiden Bersatu itu berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Publika malam tadi.
Tambahnya parti komponen PN juga sudah bersetuju jentera Pilihan Raya Umum (PRU) mereka akan bergerak menggunakan nama PN.
“Kita dah setuju, semua jentera semua peringkat bergerak atas nama PN, Bersatu, PAS, Gerakan, (kita ada parti) Sabah dan Sarawak, ada SAPP, Star,” katanya.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang hadir dalam mesyuarat tersebut turut menolak anggapan PAS perlu membuat pilihan sama ada PN atau Umno.
Ini kerana PAS katanya masih lagi salah satu daripada komponen PN.
“PAS komponen PN, saya fikir tidak ada isu, Muafakat Penyatuan Ummah, itu agenda PAS, kita akan bawa ke mana-mana pun, jadi saya fikir tiada isu (penyatuan ummah) bukan hanya sekadar konteks PRU tapi kerangka lebih besar daripada PRU.
“Mana-mana yang boleh kita pakat dalam politik, bagi saya senang sahaja politik ini kurangkan musuh ramaikan kawan,” kata Tuan Ibrahim kepada pemberita, yang ditemui selepas selesai mesyuarat.
Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, usaha akan tetap dijalankan di peringkat akar umbi PAS dan Umno walaupun sekiranya penyatuan tidak berlaku dalam kalangan pimpinan parti.
“Sebab itu asasnya walaupun tak dapat (penyatuan) antara pimpinan, tapi yang penting penyokong, kurangkan musuh ramaikan kawan,” kata Tuan Ibrahim lagi.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini dalam kenyataan di laman media sosialnya memberi gambaran masih berusaha untuk mengusahakan kerjasama antara Umno dan Bersatu yang bertelagah.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS akan tetap berpegang dengan pendekatan konsep wasatiyyah bagi mempertahankan PN. – 6 Oktober, 2022.
Komen