TERDAPAT banyak cara lain untuk menangani isu berita palsu selain merangka undang-undang baru, kata peguam Syahredzan Johan.
Beliau berkata antara langkah yang boleh diambil bagi menangani isu itu adalah dengan menghapuskan undang-undang yang mengikat kebebasan media.
Syahredzan berkata, undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) dan Akta Komunikasi dan Multimedia antara lain adalah penghalang kepada penyaluran maklumat secara bebas serta kerja-kerja membabitkan media.
“Sebagai contoh Akta Hasutan yang bersifat cetek, harus dihapuskan, begitu juga PPPA, OSA dan segala undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara dan berekspresi termasuk kebebasan mendapatkan maklumat, kita harus hapuskan,” katanya dalam forum bertajuk GE14: Battle of Fake News di Subang Jaya semalam.
Terdahulu, setiausaha biro undang-undang DAP Michelle Ng Mei Sze yang turut menjadi ahli panel dalam forum itu berkata cadangan undang-undang baru bagi menangani berita palsu berkenaan bertindih dengan undang-undang sedia ada.
![]()
Seksyen 8 PPPA menyebut jika dalam apa-apa hasil penerbitan ada disiarkan dengan niat jahat apa-apa berita yang tidak benar, maka pencetak, penerbit, penyunting dan penulis berita itu melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya.
“Bagaimana pula dengan media alternatif (whatsapp atau media sosial) kita juga ada undang-undang untuk itu, iaitu Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Mengikut akta itu, seseorang didapati bersalah jika menggunakan perkhidmatan rangkaian atau kemudahan rangkaian untuk menyalurkan sebarang komunikasi yang lucah, tidak sopan, palsu, berbentuk ancaman,” kata Ng. – 1 Mac, 2018.
Komen