Pasukan pengurusan bencana diarah sedia hadapi PRU musim banjir


Ravin Palanisamy

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas khas) Mastura Mohd Yazid berkata pasukan pengurusan bencana diarah untuk bersedia sekiranya pilihan raya umum diadakan pada musim tengkujuh.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2022.

PASUKAN pengurusan bencana negara telah diarahkan bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum sekiranya ia diadakan semasa musim banjir, kata Mastura Mohd Yazid kepada Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas khas) berkata beliau menghadiri mesyuarat dengan Pasukan Petugas Khas Persediaan Monsun Timur Laut (MTL) 2022/23 Isnin lalu, dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, bagi membincangkan kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang diadakan pada musim tengkujuh.

“Pasukan petugas ini akan memperhalusi langkah-langkah yang perlu diambil jika PRU15 diadakan pada musim tengkujuh,” kata ahli Parlimen Kuala Kangsar itu kepada Parlimen hari ini.

Mastura menjawab soalan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka - PH), yang bertanya sama ada wajar PRU15 diadakan pada musim banjir akhir tahun.

Berdasarkan rekod lepas, Mastura berkata bahawa Malaysia pernah mengadakan pilihan raya umum dan juga pilihan raya negeri pada musim banjir akhir tahun.

“Pilihan raya umum telah diadakan pada November 1999 dan yang terbaru pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang diadakan pada Disember tahun lepas,” katanya.

Pada 1999, pilihan raya umumdiadakan pada 29 November, manakala pilihan raya negeri Sarawak tahun lepas diadakan pada 18 Disember.

Bagaimanapun katanya, apa sahaja keputusan untuk mengadakan PRU15 akan datang akan dipertimbangkan dengan teliti oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Kebajikan 33 juta rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan perdana menteri.

“Kerajaan sudah tentu akan mengambil kira pandangan dan maklumat daripada semua agensi berkaitan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya. – 6 Oktober, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen