PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob seharusnya tidak lagi memanjangkan debaran mengenai pilihan raya umum akan datang (PRU15) dan mesti menyatakan secara jelas tarikhnya, kata Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng hari ini.
Beliau yang juga ahli Parlimen Bagan berkata Ismail yang menutup mulut mengenai pilihan raya umum bukan sahaja mengganggu perjalanan pentadbiran kerajaan tetapi juga iklim pelaburan di negara ini.
“Setiap hari beliau memilih untuk melengahkan pengumuman tarikh pilihan raya, beliau akan kelihatan semakin lemah.
“Sektor perniagaan benci kepada ketidakpastian dan akan menangguhkan keputusan pelaburan sehingga terdapat kepastian, kejelasan dan konsistensi dalam dasar kerajaan.
“Semua ini tidak mungkin berlaku dengan kerajaan yang kini berada dalam demam pilihan raya yang teruk dengan drama terbaru sama ada Ismail Sabri akan membubarkan Parlimen esok apabila beliau mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi perjumpaan mingguan,” kata bekas menteri kewangan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Ismail berkata beliau telah diperkenankan menghadap Yang di-Pertuan Agong esok. Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada akan membentangkan tarikh pembubaran Parlimen.
Ini berlaku selepas Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata parti itu bersetuju untuk pilihan raya diadakan tahun ini, dan perdana menteri akan membentangkan tarikh cadangan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.
Sekiranya Parlimen tidak dibubarkan esok, Lim menggesa Ismail menyatakan secara jelas bila tarikh sebenar.
Lim, yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang bagaimanapun berkata demi “kepentingan terbaik” negara, adalah tepat dari segi politik untuk mengadakan pilihan raya tahun depan.
“Jika Parlimen dibubarkan esok walaupun negara berada di tengah-tengah musim tengkujuh dan banjir teruk, maka jelaslah Ismail sanggup mengorbankan mereka yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa dan harta benda ketika banjir semasa tempoh kempen pilihan raya.
“Sehingga kini tidak ada gabungan rancangan banjir dan pilihan raya umum yang dikemukakan oleh kerajaan. Ini adalah semata-mata keputusan politik yang tidak bertanggungjawab dan permainan kuasa untuk memenangi pilihan raya dengan segala cara walaupun dengan harga kehilangan nyawa dan harta benda akibat banjir.
“Walaupun pembangkang telah menasihatkan Ismail bahawa adalah lebih baik untuk membuat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi marah daripada mengundang kemarahan alam, Ismail mesti menghapuskan ketidakpastian mengenai tarikh pilihan raya untuk selama-lamanya,” katanya.
Lim juga mengingatkan Ismail bahawa kuasanya sebagai perdana menteri hilang serta-merta apabila Parlimen dibubarkan.
“Kuasa yang diberikan kepadanya kemudiannya akan dipindahkan dengan serta-merta kepada Ahmad Zahid yang memegang nasib politik setiap calon pilihan raya Umno di tangannya,” katanya.
Semalam, Zahid, yang juga ahli Parlimen Bagan Datoh, mengulangi gesaannya supaya pilihan raya diadakan tahun ini, tetapi menegaskan ia perlu diadakan sebelum musim banjir. – 5 Oktober, 2022.
Komen