Penilaian berasaskan sekolah, ujian akhir tahun bantu pantau prestasi pelajar, kata menteri


Raevathi Supramaniam

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata pentaksiran berasaskan sekolah dan peperiksaan akhir tahun dibuat bagi memastikan guru boleh campur tangan sekiranya pelajar mula ketinggalan dalam pelajaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2022. 

PENTAKSIRAN berasaskan sekolah (PBS) dan peperiksaan akhir tahun merupakan standard penilaian baharu pelajar sekolah menengah berikutan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin hari ini.

Menteri itu berkata penilaian itu bagi memastikan guru boleh campur tangan sekiranya pelajar mula ketinggalan dalam pelajaran.

PBS terdiri daripada tiga komponen iaitu penilaian bilik darjah (PBD), penilaian aktiviti fizikal, sukan dan kurikulum (PAJSK) dan penilaian psikometrik (PPsi).

“Melalui PBD guru boleh memantau murid membaca, menulis dan mengira.

“Guru kemudian boleh merancang dan mengubah suai kaedah pengajaran mereka semasa PBD untuk membantu pelajar meningkatkan penguasaan sesuatu mata pelajaran.

“Ini juga akan melengkapkan pelajar dengan asas pengetahuan yang kukuh untuk ke peringkat seterusnya pendidikan mereka.”

Di bawah PBD penilaian formatif dan sumatif akan dilaksanakan, kata Radzi.

Salah satu komponen penilaian sumatif ialah peperiksaan akhir tahun, katanya.

“Kertas peperiksaan akhir tahun disediakan oleh guru berpengalaman untuk Tingkatan 1-3 dan soalan disimpan dalam bank soalan.

“Pihak sekolah akan mengemukakan soalan untuk penilaian berdasarkan sistem ini. Sistem pemarkahan juga disediakan untuk membantu guru.

“Peperiksaan akhir tahun membolehkan pencapaian pelajar di seluruh negara diukur dan kementerian membuat perancangan sekiranya perlu campur tangan,” katanya.

Radzi bagaimanapun menegaskan pelaporan prestasi itu bukan untuk membandingkan prestasi setiap pelajar atau sekolah.

“Pelaporan itu bukan untuk membandingkan pelajar dan sekolah tetapi untuk melihat prestasi di seluruh negara, dalam literasi dan numerasi supaya kita boleh campur tangan jika ada keperluan,” katanya.

“Sebagai contoh jika tahap celik huruf di sesuatu kawasan adalah rendah, kementerian boleh campur tangan.

“Apa yang kami ingin tekankan adalah untuk membina pelajar, untuk memastikan mereka dapat mencapai tahap pemahaman dari intervensi awal,” katanya. – 5 Oktober, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen