DESAKAN Ahmad Zahid Hamidi agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan semasa musim banjir membuktikan presiden Umno itu tidak kisah tentang keselamatan dan kesejahteraan rakyat, kata Rafizi Ramli.
Merujuk perbicaraan kes rasuah dan pecah amanah membabitkan Zahid yang sedang berjalan, timbalan presiden PKR tu berkata Zahid sebenarnya hanya mahu menyelamatkan diri dan kerjaya politiknya, sebab itu beliau mendesak PRU15 disegerakan.
“Saya tak fikir Zahid dengan Umno fikir panjang. Dia fikir kes dia (selesai) akhir November awal Disember, jadi pilihan raya mesti dibuat secepat mungkin,” katanya pada ceramah Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Pandan, Selangor malam tadi.
Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilapor media berkata beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong esok. Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen.
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan minggu lalu berkata parti itu memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan pada tahun ini juga.
Susulan itu, Ismail Sabri selaku perdana menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong.
Perkara itu selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan, kata Ahmad.
Zahid semalam mengulangi gesaan supaya PRU15 diadakan tahun ini, dan ia akan diadakan sebelum musim banjir.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan musim tengkujuh tahun ini bermula awal November.
Dalam ceramah malam tadi, Rafizi berkata Zahid dan partinya Umno harus bersedia menghadapi kemarahan rakyat jika terpaksa mengundi semasa banjir.
Rafizi juga mengingatkan kebanyakan negeri yang sering terjejas banjir majoritinya adalah pengundi Melayu.
Malah pilihan raya semasa kenaikan kos sara hidup dan inflasi juga akan menyebabkan rakyat menolak Barisan Nasional (BN).
“Zahid berkeras, Umno berkeras nak panggil pilihan raya dalam keadaan hujan, bencana, harga barang naik, ekonomi merudum.
“Mata wang paling teruk dalam sejarah pun dia tetap nak panggil pilihan raya sebab dia yakin kononnya rakyat Malaysia bodoh. Dia rasa buat macam mana pun orang Melayu terutamanya tetap sayang Umno.
“Betullah apa Dr Mahathir (Mohamad) kata, ‘Orang Melayu mudah lupa’. Cuma bezanya Melayu yang mudah lupa ni duduk dalam Umno saja. Melayu yang panjang akal semua tak duduk dalam Umno,” katanya. – 5 Oktober, 2022.
Komen