MCA, Gerakan bersaing rampas kerusi Pakatan di Kuala Lumpur


Khoo Gek San

MCA dijangka bertanding lima kerusi tradisi - Cheras, Seputeh, Bukit Bintang, Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak - dan tambahan tiga kerusi lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2022.

MCA dan Gerakan - pesaing daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) - akan cuba memecahkan monopoli Pakatan Harapan (PH) di Kuala Lumpur pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata orang dalam parti.

MCA dijangka bertanding lima kerusi tradisi - Cheras, Seputeh, Bukit Bintang, Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak - dan tambahan tiga kerusi lagi.

Gerakan pula sebelum ini pernah bertanding di Segambut, Kepong dan Batu ketika masih bersama BN.

Bagaimanapun, ia adalah satu tugas yang sukar untuk kedua-dua parti, walaupun didominasi kaum Cina, ia kubu kuat PH.

Terdapat 11 kerusi di Kuala Lumpur dan kesemuanya dipegang oleh parti pembangkang - DAP (5), PKR (5) dan Bersatu (1).

Tan Kok Wai daripada DAP memegang kerusi Cheras sejak 1995 manakala Fong Kui Lun (DAP) kerusi Bukit Bintang sejak 1999.

Di Kepong, Lim Lip Eng (DAP) menggantikan veteran Tan Seng Giaw (DAP) yang merupakan ahli Parlimen lapan penggal bagi kawasan itu.

Sementara itu, Teresa Kok (DAP) berkhidmat sebagai ahli Parlimen Seputeh selama lima penggal sejak 1999.

Bagi menentang PH di Segambut, MCA melantik pengerusi Segambut Daniel Ling Sia Chin sebagai penyelaras. Ia belum memilih penyelaras untuk Kepong.

Parti itu juga melantik pengerusi bahagian Wangsa Majua Ng How Do sebagai pemangku pengerusi jawatankuasa bersama negeri Wilayah Persekutuan dan jawatankuasa daerah dan pengerusi bahagian Wangsa Maju.

Dua lagi penyelaras ialah Pengerusi Bahagian Bukit Bintang Ng Chin Xiu dan Setiausaha Bahagian Seputeh Lee Kah Hing.

Sumber MCA berkata Umno bersaing untuk kerusi Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak, tetapi parti Cina itu merancang Pengerusi Bahagian Bandar Tun Razak Chew Yin Keen menjadi penyelaras bagi kawasan itu.

Pada PRU lalu, MCA memberikan kerusi Bandar Tun Razak kepada Umno, tetapi kalah dengan calon PKR Kamarudin Jaffar.

Bagi kerusi Batu yang sebelum ini ditandingi oleh Gerakan, ini akan diberikan kepada MIC, kata sumber.

“Penyelaras kini aktif turun padang dan sedang mencari calon terbaik bagi setiap kawasan.

“Umno mungkin tidak boleh memenangi semua kawasan yang ditandinginya kerana ada faktor seperti pengundi kali pertama perlu dipertimbangkan.

“Kita juga perlu memikirkan sama ada calon penyandang PH akan bertanding dan jika ya, sama ada perlu mengganti calon untuk menang.”

Pengundi muda atas pagar

Pengerusi jawatankuasa perhubungan negeri Wilayah Persekutuan MCA FT Nicole Wong Siaw Ting berkata dengan pandemik Covid-19, iklim politik, ekonomi, Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik, PH mungkin tidak dapat meneruskan rentak kemenangannya.

Ini kerana MCA sudah turun padang bekerjasama dengan orang ramai semasa wabak itu, katanya.

“Semasa pandemik, sukarelawan kami bekerja keras untuk membantu pengundi, walaupun di kawasan yang kami kalah dalam PRU lalu. Jadi, kami berharap ini akan membantu kami kali ini.”

Selain itu, sepanjang 22 bulan PH memegang kuasa, Wong berkata gabungan itu tidak memenuhi manifestonya dan mengecewakan pengundi.

Dengan kelulusan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik, yang menyaksikan penambahan 5.72 juta pengundi ditambah ke dalam daftar pemilih, Wong berkata tidak diketahui bagaimana pengundi kali pertama ini akan mengundi.

“Persekitaran di lapangan sudah berubah, pengundi muda memerhati apa yang kami lakukan dan kami akan terus berjuang bagi setiap undi,” kata Wong.

Wong berkata MCA melantik penyelaras di Cheras, Seputeh, Bukit Bintang, Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak, manakala kerusi lama Gerakan - Segambut, Kepong and Batu - akan diputuskan oleh BN.

Gerakan yakin rekod rancangan ekonomi PN selama 17 bulan banyak memberi manfaat kepada rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2022.

Gerakan tumpu satu kawasan

Ketua Gerakan Wilayah Persektuuan Mak Koh Keong berkata selepas menyertai PN pimpinan Muhyiddin Yassin, parti itu mungkin hanya menumpukan pada satu kerusi, Kepong, pada PRU15.

“Selagi kita meletakkan seluruh tenaga untuk memenangi satu kerusi, keyakinan kita untuk bertanding di kawasan lain pada masa hadapan akan lebih tinggi,” kata Mak.

Bagaimanapun, katanya sama ada parti itu akan bertanding untuk satu atau tiga kerusi, belum dimuktamadkan.

Mak juga bersetuju golongan muda adalah faktor yang tidak diketahui oleh Gerakan dan PN pada PRU15.

“Walaupun pengundi muda dan pertama kali ini mungkin tidak keluar mengundi, PN akan cuba meyakinkan mereka.

“Rekod PN selama 17 bulan menunjukkan ia mempunyai rancangan ekonomi baik yang memberi manfaat kepada rakyat.”

Mak berkata tidak semua pengundi bandar akan menyokong PH memandangkan mereka memerintah kurang daripada 22 bulan. – 5 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen