WAN Saiful Wan Jan, yang meninggalkan badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) untuk menyertai Bersatu, mengucapkan terima kasih kepada PAS kerana menanam minatnya kepada idea-idea liberalisme yang membentuk asas pemikiran beliau hari ini.
Katanya, beliau mengenali idea-idea yang dilabelkan sebagai bersifat liberal itu daripada PAS semasa mula berjinak-jinak dengan parti Islam itu pada awal 1990-an.
Menurut Wan Saiful, parti Islam itu mengasuhnya untuk memiliki jati diri, berfikir secara bebas serta menekankan ahli-ahlinya mencari ilmu supaya boleh membuat keputusan sendiri.
“Saya tidak ada apa-apa yang negatif hendak disebut tentang PAS melainkan kebanyakan pengalaman saya dengan PAS adalah positif dan saya berterima kasih kerana pengalaman itu,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight semalam.
Sebelum masuk Bersatu, Wan Saiful adalah ahli PAS seumur hidup sejak 1997.
Beliau hari ini secara rasmi diumumkan menyertai Bersatu sebagai ahli seumur hidup, seminggu selepas beliau mengumumkan perletakan jawatan daripada Ideas.
Ideas adalah badan pemikir yang mengangkat falsafah pemikiran liberalisme klasik ke dalam kerja-kerja dasar awamnya. Sejak penubuhannya di Kuala Lumpur pada 2010, badan itu berpandukan empat prinsip iaitu kedaulatan undang-undang, kerajaan yang terhad, pasaran bebas dan kebebasan individu.
Wan Saiful yang berpegang pada falsafah liberalisme klasik berkata idea-idea bebas itu sejajar dengan apa yang dilatih dalam PAS.
Wan Saiful bagaimanapun mengingatkan liberal dalam terjemahan Eropah sangat berbeza dengan konsep liberal seperti yang difahami oleh masyarakat umum di Malaysia.
“Di Malaysia ini apabila disebut liberal, akan datang perkataan-perkataan yang kalau kita sebut kepada orang liberal di Eropah, saya rasa kita akan kena gelak besar,” tambahnya.
Wan Saiful juga menyebut PAS di bawah kepimpinan presidennya Abdul Hadi Awang tidak lagi sama seperti sebelum ini sebaliknya “sudah kembali ke satu zaman yang hanya sesuai untuk segelintir rakyat Malaysia”.
Beliau bagaimanapun menambah keadaan itu tidaklah akan menjadikan parti Islam itu terkubur kerana ia akan terus jadi wadah golongan konservatif.
“Bagi mereka yang konservatif dan cenderung kepada politik, maka PAS adalah satu-satunya parti yang natural untuk mereka. Tetapi ia tidak boleh jadi parti nasional,” katanya.
Menurut Wan Saiful, orang sepertinya – yang terasuh minatnya kepada liberalisme hasil tarbiyah PAS – bagaimanapun tidak lagi ada tempat yang signifikan dalam parti Islam itu.
“Kalau saya keluar dari PAS pun sebenarnya tidak mencacatkan PAS langsung sebab saya tidak terlibat dengan mendalam dalam PAS sekarang,” tambahnya.
November lalu, Wan Saiful membayangkan beliau hanya menunggu masa akan dipecat oleh PAS ekoran beberapa kenyataannya yang dilihat keras mengkritik parti Islam itu.
Antara kritikannya ialah mengenai sikap PAS yang meninggalkan prinsip-prinsip progresif dan semakin condong jadi konservatif selepas krisis dalaman pada 2015 yang membawa kepada perpecahan sehingga terbentuknya parti serpihan Amanah. – 1 Mac, 2018.
Komen