261 mangsa sindiket tipu kerja diselamatkan, kata Saifuddin


Raevathi Supramaniam

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata kesemua mangsa penipuan ini diselamatkan dari Kemboja, Laos, Thailand dan Myanmar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2022.

SERAMAI 261 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan pekerjaan telah diselamatkan antara April hingga September tahun ini, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Kesemua mangsa penipuan ini diselamatkan dari Kemboja, Laos, Thailand dan Myanmar, katanya menjawab soalan diajukan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin berkata daripada jumlah itu, 171 sudah dibawa pulang manakala 90 lagi sedang menunggu proses penghantaran pulang.

“Daripada empat negara, paling ramai di Kemboja, iaitu 139 orang telah dibawa pulang dan 56 dalam proses penghantaran pulang,” kata Saifuddin semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Menurutnya, bagi menguruskan proses membawa pulang mangsa-mangsa penipuan ini satu pasukan petugas khas melibatkan agensi-agensi berkaitan diketuai Kementerian Luar Negeri telah ditubuhkan pada 1 September lalu.

Tambah beliau, selain 261 mangsa sindiket yang dibawa pulang seramai 88 lagi mangsa masih dikesan.

“Majoriti daripada mereka ini ditipu, dijanjikan gaji besar dan pelbagai kemewahan. Ada yang pergi bercuti selepas itu ditipu untuk bekerja.

“Namun juga saya kena sebutkan ada segelintir daripada mereka ini tak mahu balik. Mengapa mereka tak mahu balik tak dapatlah nak saya ceritakan dalam Dewan mulia ini, tetapi kita sentiasa nasihat rakyat Malaysia.

“Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga sudah mula memanjangkan pesanan-pesanan supaya rakyat malaysia jangan terpengaruh,” katanya. – 4 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen