Anwar tak terkesan dengan 'PM tepi'


Ravin Palanisamy

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau tidak kisah sering digelar 'PM tepi'. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 4 Oktober, 2022.

DIPANGGIL dengan apa sahaja gelaran termasuk “PM (perdana menteri) tepi” tidak memberi kesan ke atas dirinya, malah beliau berbangga dengan dirinya kerana tidak mengkhianati atau seleweng wang rakyat, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Kata Anwar, beberapa ahli Parlimen juga sering menyindirnya dengan gelaran tersebut apabila beliau bangkitkan isu mengenai kos sara hidup dan inflasi.

Ketua pembangkang itu juga maklum jalan untuk beliau jadi perdana menteri tidak mudah kerana ramai yang bersekongkol untuk menentangnya.

“Bukan senang nak jadi perdana menteri dalam negara ini.

“Semua yang korup di atas berpakat.

“Yang tua-tua dah tak larat pun pakat lagi. Saya tak kata sesiapa, berpakat mesti halang (Anwar jadi PM). 

“Sebab apa? Berapa orang dari parti kita yang berani, lantang bercakap. Sebab itu mereka bantai habis-habisan,” katanya pada ceramah Jelajah Rakyat di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur malam tadi. 

Presiden PKR Anwar Ibrahim ketika berucap pada ceramah Jelajah Rakyat di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 4 Oktober, 2022.

Anwar itu turut menyelar kerajaan kerana tiada keberanian untuk meminta taikun-taikun tempatan bantu menangani kos sara hidup yang meningkat.

Minyak masak misalnya, Malaysia sebagai salah satu pengeksport terbesar dunia minyak sawit boleh menurunkan harga untuk kegunaan domestik.

“Ada syarikat-syarikat besar yang kaut untung antara RM800 juta hingga RM1 bilion. Biarlah mereka untung tetapi bagilah 10%  atau 15% umpamanya, jual dalam negara. Harganya untung tapi tidaklah untung sangat.

“Menteri, perdana menteri tak ada yang berani nak berdepan dengan tauke-tauke besar ini,” katanya.

Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar bijak kerajaan yang bebas rasuah dan memperjuangkan nasib mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 4 Oktober, 2022.

Beliau selain itu mengkritik Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang ditubuhkan kerajaan kerana tidak cekap menangani inflasi.

Anwar seterusnya menyeru rakyat agar bijak kerajaan yang bebas rasuah dan memperjuangkan rakyat.

“Kena pilih wakil kena pilih kerajaan, pimpinan yang ada keberanian berdepan dengan siapa sahaja untuk membela nasib rakyat.” – 4 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen