Tidak adil salahkan pengusaha pelancongan Pulau Perhentian kotor


Diyana Ibrahim

Dasar kerajaan negeri Terengganu dilihat tidak begitu menyokong memajukan sektor pelancongan yang menyulitkan pemain industri. – Gambar Facebook, 6 Oktober, 2022.

TIDAK adil menyalahkan pengusaha resort menuduh tidak mematuhi peraturan kebersihan dan kesihatan susulan insiden sekumpulan pelancong yang jatuh sakit selepas berenang di perairan Pulau Perhentian, Terengganu, kata pengusaha pelancongan.

Sebaliknya mereka memberitahu The Malaysian Insight isu sebenarnya ialah kelemahan atau tidak cakna kerajaan Terengganu untuk menyediakan kemudahan awam di pulau peranginan di negeri itu hingga menimbulkan kesulitan kepada pengusaha pelancongan.

Pengusaha, Abdul Aziz Che Abdullah berkata dakwaan pelancong tersebut dilihat tidak berasas kerana jika benar air tercemar kerana masalah sistem kumbahan sudah tentu penduduk dan semua pelancong yang datang ke pulau itu akan jatuh sakit.

“Sebenarnya kita agak ragu-ragu dengan dakwaan tersebut kerana kita bimbang mereka jatuh sakit mungkin kerana faktor lain seperti bawa makanan dari luar.

“Sebab ini biasanya yang dibuat pelancong mereka suka beli makanan luar bawa masuk ke pulau,” katanya.

Namun bekas persatuan dan pengusaha resort dan pelancongan Pulau Perhentian mengakui pulau itu sememangnya berdepan masalah sistem kumbahan.

Jelasnya, majoriti resort, hotel termasuk penduduk di Pulau Perhentian akan membina sistem kumbahan mereka sendiri memandangkan dahulunya pulau itu tidak diselenggarakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata infrastruktur tidak lengkap bukan hanya melibatkan sistem kumbahan tetapi juga sistem perparitan, longkang, pengurusan sisa pepejal serta bekalan elektrik 24 jam.

Aziz berkata PBT hanya menyelenggara sepenuhnya Pulau Perhentian sekitar tahun 2000-an.

“Sebab dulu Pulau Perhentian ini masih belum terkenal lagi, jadi PBT tak masuk sini, jadi semuanya kita kena sediakan sendiri.

“Jika penduduk kampung mereka lah yang akan uruskan sendiri sampah mereka, dan untuk pengusaha mereka terpaksa sediakan semua bina sistem kumbahan sendiri kerana dikira sebagai tanah persendirian.

“Jadi mungkinlah ada sesetengah yang bina itu tidak ikut spesifikasi,” katanya.

Tambahnya semasa beliau menjadi pengerusi persatuan,pihaknya sering memperjuangkan isu prasarana seperti menyediakan sistem kumbahan sistematik dan bekalan elektrik 24 jam.

“Kita dah lama sangat perjuangkan untuk ada sistem kumbahan lebih sistematik berpusat di Pulau Perhentian. Kemudian bekalan elektrik 24 jam kepada pengusaha.

“Tapi baru hari inilah mereka kata akan mula untuk membina sistem kumbahan dan 15 Oktober ini akan ada program nyahenap cemar sisa kumbahan  bersama operator dan penduduk kampung.

“Kita harap ia dapat selesaikan masalah kelemahan prasarana kita hadapi ketika ini,” katanya.

Seorang lagi operator yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Ikmal, 38, menggesa kerajaan negeri tidak lagi lepas tangan dalam isu kelemahan menyediakan prasarana di pulau peranginan.

Mohd berkata dasar kerajaan negeri dilihat tidak begitu menyokong memajukan sektor pelancongan yang menyulitkan pemain industri.

“Inilah isu yang sebenarnya, sebab pengusaha sendiri tidak dapat sokongan daripada kerajaan negeri. Sedangkan tempat pelancongan ini menjana dan memberi pulangan kepada kerajaan negeri.

“Penduduk sini mendapat tempias, ada peluang pekerjaan. Jadi sepatutnya labur sedikit untuk kelengkapan prasarana 

“Itu belum lagi kita masuk isu lain tentang mengapa pelancong perlu bayar dua kali caj masuk ke pulau, dan kemusnahan terumbu karang yang boleh menjejaskan sektor pelancongan pulau ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan sekumpulan 40 orang pelancong termasuk 13 kanak-kanak yang bercuti tiga malam ke Pulau Perhentian Kecil jatuh sakit selepas berenang di perairan pulau itu. 

Menurut laporan tersebut, sebahagian mereka mengalami cirit-birit dan demam panas sejurus selepas pulang dan beberapa orang dimasukkan ke hospital, manakala seorang kanak-kanak berusia setahun disahkan menghidap kepialu dan dua lagi kanak-kanak mengalami keracunan darah.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) juga mengeluarkan kenyataan memandang serius perkara yang melibatkan tahap keselamatan dan kesihatan pelancong, sama ada domestik atau dari luar negara.

September lepas The Malaysian Insight juga melaporkan rintihan pengusaha berhubung kemudahan asas seperti bekalan elektrik antara perkara utama yang menyekat usaha memulihkan sektor pelancongan di pulau peranginan di Terengganu.

Kerajaan negeri hari ini akhirnya mengeluarkan kenyataan mengarahkan semua agensi yang terbabit diarah menjalankan siasatan di lapangan dengan segera untuk mengenal pasti punca kejadian.

Exco pelancongan Ariffin Deraman berkata kerajaan negeri tidak teragak-agak menggunakan segala tindakan perundangan sedia ada dengan tegas sekiranya  premis tidak mematuhi peraturan.

Ariffin berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) juga dalam usaha membina loji kumbahan bersepadu bagi menangani isu-isu berkaitan pencemaran kumbahan di Pulau Perhentian.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama insiden pelancong jatuh sakit selepas melancong di Pulau Perhentian.

Insiden tersebut dilaporkan oleh media pada Jun lepas dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu JKNT menyatakan akan menyiasat kes tersebut.

The Malaysian Insight juga difahamkan Jabatan Alam Sekitar hari ini (Ahad) mengadakan operasi untuk menyiasat kualiti air di Pulau Perhentian. 

Manakala JKNT hari ini (Ahad) telah mengadakan pemeriksaan di setiap premis Pulau Perhentian.

Ditanya mengenai dakwaan pelancong jatuh sakit, pengarah JKNT Kasemani Embong berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung isu itu.

Beliau berkata, sukar untuk ditentukan punca memandangkan pelancong yang didakwa jatuh sakit tidak mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan negeri.

“Mereka ini tidak mendapat rawatan di mana- mana pusat kesihatan di Terengganu jadi kita memang tak ada laporan lengkap lagi berhubung kes ini,” katanya.

Bagaimanapun pengarah kesihatan tidak menjawab mengenai hasil siasatan yang dilakukan JKNT berhubung kes pertama dilaporkan pada Jun lepas. – 6 Oktober, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen