SIAPA pun yang Cina sokong pada pilihan raya umum (PRU) tidak sepatutnya dijadikan isu perkauman, kata Ketua Penerangan Umno Annuar Musa.
Beliau berkata adalah salah untuk melabelkan Cina sebagai anti Barisan Nasional (BN) hanya kerana masyarakat itu secara umumnya menyokong pembangkang sejak beberapa tahun terakhir ini.
“Ini tidak seharusnya dilihat dalam konteks perkauman. Cina juga rakyat Malaysia. Mereka turut membina negara ini. Kerana Cina juga, ada BN pada hari ini.
“Bagi BN, kami pertahankan kebersamaan, toleransi dan saling menghormati dalam kalangan semua kaum, dan menghormati kontrak sosial.
“Yang kami tentang ialah DAP kerana dasarnya yang sosialis dan bantahan terhadap konsep Bumiputera,” katanya kepada wartawan selepas berucap di dialog “Perjuangan untuk semua” di Pinang Tunggal, Kepala Batas, malam tadi.
Kenyataan Annuar itu dibuat ketika pemimpin Umno dilihat menyerang jutawan Malaysia, Robert Kuok, yang baru-baru ini didakwa membiayai DAP untuk menggulingkan kerajaan.
Tuduhan itu kali pertama dibuat oleh penulis blog Raja Petra Kamaruddin minggu lalu dan dinafikan oleh DAP dan juga Kuok.
Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh berkata DAP memainkan sentimen Cina untuk memenangi undi daripada masyarakat kawasan bandar sehingga menafikan sumbangan parti Cina dalam BN iaitu MCA dan Gerakan.
“Pulau Pinang terbangun kerana kepimpinan Gerakan pada masa lalu,” katanya, merujuk kepada negeri itu yang kini dikawal oleh DAP, parti dalam Pakatan Harapan (PH).
“Malaysia maju kerana sumbangan besar pemimpin MCA. Anda tidak boleh nafikan sumbangan kedua-dua parti.
“Tetapi dengan cara DAP main politik, membuatkan parti lain tidak relevan, malah sesetengah pemimpin MCA dan Gerakan berdepan dengan krisis keyakinan,” katanya.
Namun, Annuar menegaskan dalam keadaan seperti itu pun, Cina tidak boleh dilabelkan sebagai anti BN.
“Tidak perlu ada pemikiran sempit dan label Cina sebagai penyokong DAP. Anda tidak boleh kata DAP akan sentiasa mendapat sokongan masyarakat itu.” – 1 Mac, 2018.
Baca berita penuh di sini.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan