Penyusutan nilai ringgit tidak beri impak besar kepada hutang negara, kata menteri 


Ravin Palanisamy Raevathi Supramaniam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustafa Mohamed berkata ringgit masih menunjukkan prestasi yang lebih baik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2022.

PENYUSUTAN nilai ringgit tidak akan memberi impak besar kepada hutang Malaysia kerana hanya 5% dalam denominasi dolar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustafa Mohamed, hari ini.

Beliau menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad tentang bagaimana kejatuhan nilai ringgit akan memberi kesan kepada Bajet 2023.

“Hutang kerajaan, hanya 5% dalam dolar AS, banyak dalam denominasi ringgit,” kata Mustafa di Dewan Rakyat.

“Bil perbendaharaan dan sekuriti kerajaan juga dalam ringgit.”

Mustafa berkata berbanding Yen Jepun atau Pound Britain, ringgit masih menunjukkan prestasi yang lebih baik.

“Kami tahu bahawa ringgit ditentukan oleh pasaran terbuka, jadi turun naik adalah perkara biasa,” katanya.

Beliau berkata penyusutan nilai ringgit adalah disebabkan oleh pendirian agresif Rizab Persekutuan AS untuk mengatasi inflasi.

“Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), kecairan bank tempatan adalah baik dan rizab kita berjumlah AS$1.6 bilion, iaitu lebih daripada hutang jangka pendek,” katanya.

Nilai ringgit mencatatkan penurunan daripada keuntungan yang diraih minggu lepas dan dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini di tengah-tengah sentimen bercampur-campur dalam pasaran apabila pelabur terus mendapatkan mata wang dolar.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan turun kepada 6400/6445 berbanding dolar AS daripada penutupan Jumaat pada 4.6360/6390.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.1657/1707 daripada 5.1728/1762 minggu lepas, meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2049/2082 daripada 3.2103/2126 dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2323/2359 daripada 3.2343/2368. – 3 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen