Kuala Lumpur kini perlukan ahli Parlimen India, kata Loga Bala


Noel Achariam

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Loga Bala Mohan berkata kini masanya untuk masyarakat India di Kuala Lumpur mempunyai ahli Parlimen, tidak kira daripada BN atau PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2018.

KINI tiba masanya untuk masyarakat India di Kuala Lumpur mempunyai wakil di Parlimen dan tidak kisah sama ada daripada Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN), kata Loga Bala Mohan.

Naib Presiden MyPPP itu berkata kaum India sepatutnya memilih calon yang akan menjaga mereka dan kepentingan mereka, bukan saja di ibu negara tetapi di seluruh Malaysia.

“Jika orang itu datang daripada BN dan beri janji sementara, jangan terima dia. Sama juga jika ia daripada pembangkang.

Mereka perlu mendesak untuk pilihan lebih baik dan hanya kemudian parti berkenaan akan terpaksa memilih calon yang boleh buat kerja,” katanya yang juga timbalan menteri Wilayah Persekutuan kepada The Malaysian Insight dalam satu temu bual.

Senator dua penggal itu dikhabarkan akan menjadi calon bagi kerusi Parlimen Batu di Kuala Lumpur.

Beliau berkata keputusan sama ada beliau dipilih untuk bertanding atau tidak bergantung kepada Perdana Menteri Najib Razak dan Presiden MyPPP M. Kayveas.

“Saya tidak boleh kata apa-apa sebab mereka yang buat keputusan. Mereka belum cakap apa-apa pada saya.

“Buat masa ini saya tidak ada kerusi. Kami (MyPPP) tidak diberikan kerusi tertentu. Tetapi jika diberikan peluang, saya akan berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

The Malaysian Insight melaporkan Gerakan mungkin memberikan kerusi Batu kepada MyPPP dalam pertukaran kerusi membabitkan Kepong, kata sumber MyPPP.

Sumber itu berkata sama ada Kayveas atau Loga Bala Mohan akan dicalonkan di Batu, yang menjadi kubu Barisan Nasional (BN), sebelum tsunami politik 2008 berlaku.

Tahun itu, Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua daripada PKR menewaskan Lim Si Pin yang juga anak bekas presiden Gerakan, Lim Keng Yaik dengan majoriti 9,455 undi. Tian Chua kekal di kerusi itu hingga sekarang.

Pada masa ini tidak ada ahli Parlimen India di Kuala Lumpur. Devaki, 93, adalah wanita pertama di negara ini yang bertanding dalam pilihan raya majlis perbandaran bagi kawasan Bangsar pada 1952 dan memenanginya. Pada 1955, beliau bertanding lagi dan menang.

Selepas pilihan raya itu, Devaki menjadi ahli MIC. Beliau bertanding di Sentul pada 1959 di bawah tiket Perikatan tetapi kalah.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terdiri daripada 11 kawasan Parlimen.

DAP memegang lima kerusi iaitu Bukit Bintang, Cheras, Seputeh, Segambut dan Kepong sementara PKR ada tiga kerusi di Lembah Pantai, Wangsa Maju dan Batu.

Dua lagi kerusi Umno di Setiawangsa dan Titiwangsa.

Parlimen akan secara automatik terbubar pada 24 Jun tetapi pilihan raya umum perlu diadakan sebelum Ogos.

Ramai menjangkakan Perdana Menteri Najib Razak akan membubarkan Parlimen selepas persidangan Dewan Rakyat 5 Mac ini dan berakhir 5 April.

Jaminan untuk kaum India

Loga berkata beliau tidak nampak bagaimana pembangkang di ibu negara dapat memberi tawaran yang lebih baik kepada masyarakat.

“Najib menunjukkan keprihatinan kepada masyarakat India dengan mewujudkan Pelan Induk Pembangunan India Malaysia dan program lain. Itu keikhlasan.

“Jika masyarakat India fikir calon daripada mana-mana parti dalam BN tidak boleh menjaga kepentingan mereka, maka jangan undi mereka,” katanya. – 1 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen