TEPAT jam lima petang, di satu sudut di bazar Ramadan Putrajaya kelihatan lima lelaki memakai plakad disangkut di leher dengan tertera mesej “jangan membazir, beli apa yang perlu saja”.
Kumpulan itu ialah aktivis Azmin Ishak, 35, dan rakan-rakannya. Bagi yang pertama kali datang ke bazar itu mungkin tindakan kumpulan membawa plakad akan membuat mereka terpinga-pinga.
Tapi bagi pengunjung tetap bazar itu, mereka sudah biasa melihat Azmin berjalan mengelilingi tapak niaga tersebut sambil membawa plakad.
Pendekatan Azmin yang unik dan berani dalam menyampaikan mesejnya sejak tahun lepas itu turut menjadi viral di media sosial.
“Kami mula berjalan dari 5 hingga 6 petang sepanjang Ramadan dan reaksi pengunjung amat baik, ramai yang menyokong dan datang mengucapkan tahniah kepada kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ketika The Malaysian Insight menemu bual kumpulan Azmin di Putrajaya baru-baru ini, mereka turut disapa pengunjung, malah ada yang mahu mengambil gambar bersama.
Azmin berkata beliau memilih menyampaikan mesej di bazar Ramadan kerana melihat cara itu lebih mudah dilakukan dan berkesan.
“Peringatan secara terus ketika membeli, saya rasa lebih berkesan untuk mengingatkan orang ramai,” katanya.
Katanya, berita mengenai pembaziran makanan yang berlaku pada bulan puasa mencetuskan idea itu.
“Tahun lepas saya banyak membaca mengenai pembaziran makanan masa bulan puasa iaitu 9,000 tan sehari sedangkan Islam suruh kita banyakkan amalan tapi kita pula lebih banyak membazir,” katanya.
Beliau berkata demikian merujuk kepada pendedahan syarikat menyelia sisa pepejal SWCorp di mana 270,000 tan makanan dibazirkan rakyat Malaysia dalam tempoh sebulan umat Islam berpuasa pada setiap tahun.
Sehubungan itu katanya, dia memilih dengan hanya menggunakan plakad sebagai salah satu cara berdakwah dan kempen itu dianggap selari dengan kempennya menolak pembaziran.
“Kaedah mesti menunjukkan tidak berlaku pembaziran, saya gunakan plakad ini dari tahun lepas dan bagi sesiapa yang mahu sertai, mereka boleh guna manila kad dan pen penanda.
“Ini menunjukkan kita tidak membazir bagi menyampaikan mesej kita,” katanya.
Ketepikan malu demi dakwah
Tidak dapat dinafikan pendekatan yang digunakan dalam menyampaikan mesej memerlukan keberanian tinggi.
Meskipun pada awalnya malu untuk berjalan menempuh bilangan pengunjung yang ramai, Azmin dan rakan-rakannya membuang jauh perasaan itu demi dakwah menyedarkan orang ramai supaya tidak membazir.
Kini mereka boleh tersenyum lebar kerana mesej yang cuba disampaikan sedikit sebanyak menyedarkan orang ramai supaya tidak membazir.
“Berdasarkan reaksi orang ramai, saya lihat ia berjaya. Kempen tahun lepas orang boleh ingat sampai sekarang.
“Tahun lepas depan saya ada seorang peniaga, dia kata kepada pelanggan beli setakat keperluan, itu yang paling kuat saya ingat, melekat dalam hati,” katanya.
Kempen Azmin tahun lalu menarik perhatian Majlis Belia Malaysia dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) hingga mendorong mereka menjalinkan kerjasama bagi kempen tahun ini.
Azmin berkata menerusi kerjasama itu, tahun ini mereka melebarkan lagi sayap dengan menyasarkan kempen berskala besar iaitu 22 bazar Ramadan seluruh negara membabitkan 30 sukarelawan. – 31 Mei, 2017.
Komen