RUSSIA pada Jumaat menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi majlis keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengecam pungutan suara “haram” mengenai pengilhakan (aneksasi) wilayah Ukraine.
Sebanyak 10 anggota majlis keselamatan mengundi menyokong resolusi Amerika Syarikat (AS) dan Albania, manakala China, India, Brazil dan Gabon berkecuali, lapor agensi berita Anadolu.
“Ia (resolusi) mengecam referendum haram ini. Menyeru semua negara untuk tidak mengiktiraf perubahan (pengilhakan) mana-mana wilayah di Ukraine. Resolusi ini mahu Russia menarik balik tentera dari Ukraine dengan segera,” duta AS ke PBB Linda Thomas Greenfield memberitahu majlis keselamatan.
Presiden Russia Vladimir Putin pada awal Jumaat mengumumkan mengenai pengilhakan empat wilayah Ukraine - Donetsk, Luhansk, Zaporizhzhia dan Kherson, tindakan yang disifatkan melanggar undang-undang antarabangsa.
Aneksasi bermaksud tindakan sesebuah negara menjadikan wilayah negara lain sebagai wilayahnya secara rasmi selepas menguasai wilayah itu secara penaklukan.
Referendum itu menerima kutukan meluas masyarakat antarabangsa dengan negara Eropah dan AS menyatakan tidak akan mengiktiraf wilayah berkenaan.
“Sebarang keputusan untuk pengilhakan wilayah Donetsk, Luhansk, Kherson dan Zaporizhzhia di Ukraine tidak sah di sisi undang-undang dan patut dikecam,” kata Antonio Guterres pada Khamis.
Selepas ini draf resolusi itu akan diundi oleh 193 negara anggota Perhimpunan Agung PBB. – Bernama, 1 Oktober, 2022.
Komen