MBI Group International Sdn Bhd, sebuah syarikat yang terbabit dalam pelbagai perniagaan termasuk hartanah, menjadikan ramai ahlinya kaya sejak beberapa tahun lalu.
MBI mengendalikan satu platform saham elektronik yang memberi ganjaran kepada pelabur – atau ahli – dengan dividen, komisen rekrut dan “mata kredit penebusan permainan”.
Seorang staf memberitahu The Malaysian Insight MBI Group mempunyai kira-kira 4.5 juta ahli seluruh dunia, dengan majoriti dari Asia.
Jonathan, 37, seorang pelabur berkata dia melaburkan AS$1,000 (RM4,280) ketika menyertai skim MBI kira-kira lima tahun lalu, dan menambah AS$2,000 (RM8,570) secara berperingkat sepanjang tempoh itu.
Sepanjang tempoh itu dia memperoleh hampir AS$30,000 (RM128,518.50).
Katanya, ahli perniagaan yang memperkenalkan kepadanya skim itu, menjadi jutawan dengan melabur AS$100,000 (RM428,395) dan memperoleh komisen dengan mendapatkan ahli menyertai skim itu.
“Saya tidak risau mengenai MBI. Lebih pun, saya sudah dapat keuntungan banyak kali,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Dia diminta mengulas mengenai serbuan di ibu pejabat MBI International di Ampang dan pejabat pengurusan M Mall di Pulau Pinang kelmarin.
Tidak risau dengan serbuan
Serbuan itu dilakukan susulan penyenaraian MBI International dan satu lagi syarikat MBI, Mface International, dalam Amaran Pengguna Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) kerana menjalankan aktiviti kewangan tidak berlesen.
Semalam, pengasas MBI Group Tedy Teoh berkata syarikatnya menghormati hak pihak berkuasa untuk menyiasat dan mereka akan memberi kerjasama.
Pengurus Kompleks M Mall Teoh Jin Aik mendakwa serbuan itu hanya “pemeriksaan rutin”.
Beliau berkata pihak berkuasa mengambil beberapa fail tetapi tidak merampas komputer atau membekukan akaun bank syarikat.
“Tidak menjejaskan apa-apa. Sistem kami berjalan seperti biasa. Ahli tidak risau. Tidak ada sesiapa yang panik dan mengeluarkan pelaburan,” katanya.
Tinjauan ke M Mall semalam mendapati kakitangan pusat beli-belah itu bekerja seperti biasa. Kedai dan tempat makan juga dibuka.
Operator gerai menjual makanan ringan berkata semua orang tahu pihak berkuasa pergi ke pejabat pengurusan kelmarin, tetapi tidak ada sesiapa yang ambil peduli.
“Ia bukan benda besar. Peniaga seperti saya tidak terjejas. Kami hanya sewa ruang daripada M Mall.
“Kami juga berdaftar dengan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia), jadi perniagaan seperti biasa bagi kami,” katanya.
M Mall ialah pusat beli-belah popular di Jalan Datuk Keramat di George Town, Pulau Pinang bagi ahli MBI, yang mendapat mata ganjaran apabila berbelanja dan menggunakan perkhidmatan perniagaan yang bekerjasama dengan syarikat itu.
Skim rumit, tetapi pelabur gembira
Pelabur seperti Jonathan tidak ada isu dengan MBI dan sangat gembira dengannya.
Tidak seperti pasaran saham konvensional, e-shares hanya naik dengan permintaan berterusan, jadi pelabur dijamin menjana wang bila mereka memilih menjual atau simpan saham bagi pelaburan semula.
Simon dari Pulau Pinang yang juga menjadi ahli MBI sejak beberapa tahun lalu berkata platform e-share menggunakan “mekanisme berpecah”.
“Katakanlah e-share dibeli pada harga AS$2 dan naik AS$4. Bila nilai saham berganda, anda dapat. Jadi syarikat akan pecahkan untuk kembalikan nilai e-share kepada AS$2.
“Tetapi bagi mencegah pelabur hilang wang selepas pecahan itu, syarikat meletakkan e-shares baharu ke dalam pasaran.
“Contohnya saya bermula dengan 50 e-shares. Selepas pecahan, syarikat beri saya tambahan 30 saham.
“Saya tidak akan dapat penuh 50 saham kerana syarikat itu ada caj transaksi. Tetapi pelabur yang aktif merekrut ahli untuk MBI akan mendapat komisen cukup bagi menampung caj transaksi,” katanya.
Beliau berkata lebih banyak “pecahan” berlaku, lebih banyak e-shares atau untung dapat dikumpulkan oleh pelabur.
Bagaimanapun, dia tidak dapat menjelaskan di mana dan bagaimana keuntungan dijanakan.
Simon berkata ketika kali pertama menyertai skim itu pada 2012, ada lima hingga enam kali pecahan setahun, tetapi sekarang berkurangan kerana pasaran e-share agak perlahan.
“Anda boleh jual e-shares bila anda rasa harganya bagus, keluarkan wang anda atau terus melabur semula.
“Pelabur tidak mendapat keuntungan standard. Berapa untung bergantung pada bagaimana anda bermain dengan e-shares,” katanya.
Simon berkata bila pecahan berlaku, syarikat itu juga memberikan mata bonus (sebelum ini dikenali sebagai Mcoin tetapi kini mata 020) kepada pelabur untuk mereka membeli-belah di rakan dagangan MBI.
Dia memulakan pelaburan dengan MBI dengan hanya satu akaun menerusi AS$1,000 tetapi selepas menambah dua kali dan melabur semula, dia kini mempunyai lapan akaun dan mata ganjaran 020 mencukupi untuk beli-belah dan makan sekeluarga.
Kebanyakan wang di dalam akaun baharu ialah daripada keuntungan yang diperoleh menerusi pelaburan asal.
Bagus untuk perniagaan
Jonathan berkata selain membantu orang ramai mendapat wang lebih, dia merasakan MBI membantu merangsang ekonomi, memberi perniagaan kepada peniaga, restoran dan entiti perniagaan lain yang menerima mata 020 sebagai bayaran kepada barangan dan perkhidmatan.
Seorang pemilik restoran di M Mall berkata jika MBI dianggap sebagai operator permainan wang seperti yang lain, maka yang paling terkenal dan stabil.
Katanya, syarikat itu mempunyai ramai pelabur, termasuk mereka yang berbelanja besar dari China, yang ada di Pulau Pinang beberapa minggu lalu.
Dilaporkan MBI menganjurkan karnival beli-belah di M Mall untuk kira-kira 24,000 pelabur dari
China.
Ketibaan warga China untuk beli-belah itu menyebabkan hotel di Pulau Pinang penuh ditempah dan jalan raya sesak kerana pelawat dibawa ke pusat beli-belah itu dengan ratusan bas.
“Ia tidak akan turun. Jika ia berlaku, banyak perniagaan akan terjejas,” kata pemilik restoran itu.
Syarikat bagi banyak perniagaan
MBI turut mendakwa bergabung dengan banyak perniagaan berbeza menerusi beberapa subsidiari.
Di laman webnya mbiv2u.com, MBI Group digambarkan sebagai “organisasi paling maju di Asia tenggara” dengan “kepelbagaian perniagaan” dan “jaringan perniagaan di China, Hong Kong, Taiwan, Thailand, Indonesia, Singapura dan negara Asia lain”.
Senarai panjang subsidiarinya termasuk MBI Holding, MBI Premier, M Mall, M Lux, M-Darts, Apple Blue Entertainment, Popcorn Entertainment, mface (social network), M Academy, MBI G9 Hotel, MBI Bird Nest, Asian Taste Seafood and Steamboat Restaurant, Aver Construction, Film Kingdom Group, Green One, GV Rewards, Gameview, H20 Biotech, One Publishing, On Connection, Soul Beauty, Red People dan Zen Innovation.
Di bandar Danok, sempadan Thailand-Malaysia, MBI mempunyai Perkampungan Budaya Asia, M Hotel dan M Leather.
MBI dikenali sebagai pemilik beberapa hotel, pangsapuri dan perniagaan lain di Thailand.
MBI International juga ada projek pembangunan perumahan bercampur di Padang Meha, Kulim, Kedah. Projek itu dikendalikan subsidiarinya ECK Development Sdn Bhd, menurut laman web mbidesaku.com.
ECK membangunkan taman perumahan di kawasan 248 ekar tanah pegangan bebas berhampiran Taman Teknologi Tinggi Kulim. Syarikat itu juga menyiapkan kawasan 12 ekar untuk Taman Agro dan empat ekar bagi pusat konvensyen.
Kumpulan itu di laman webnya berkata wawasannya ialah untuk menjadi konglomerat terbesar di Asia.
Terlalu kukuh untuk runtuh
Dengan subsidiari sebanyak itu ditambah aset di Malaysia dan luar negara, Jonathan berkata pastinya mengejutkan jika MBI boleh terkubur.
“Bagaimana ia boleh terkubur sedangkan asetnya dan perniagaan seperti hotel, restoran dan projek pembangunan banyak?
“Boleh anda bayangkan kesannya terhadap ekonomi? Berapa ramai orang akan kehilangan kerja?,” katanya. – 31 Mei, 2017.
Komen