Hampir 14,000 tandatangani petisyen dalam talian bantah PRU15


Desmond Davidson

Petisyen dalam talian Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli untuk menentang PRU15 pada musim tengkujuh menghampiri sasaran 15,000 tandatangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2022.

HAMPIR 14,000 orang menandatangani petisyen dalam talian “Bantah PRU15 Semasa Banjir - Selamatkan Nyawa Bukan Jawatan” yang dilancarkan oleh Rafizi Ramli pada 28 September lalu.

Setakat 10.30 pagi hari ini seramai 13, 894 orang menandatangani petisyen berkenaan dan masih kurang 1,106 tandatangan diperlukan untuk mencapai sasaran 15,000 ditetapkan timbalan presiden PKR bagi menandatangani petisyen itu.

Petisyen di Change.org itu menyatakan jika 15,000 tandatangan dicapai petisyen itu akan menjadi “salah satu teratas yang ditandatangani di Change.org”.

Dalam video yang disiarkan di laman Facebooknya semalam sebelum mesyuarat majlis tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur untuk memutuskan tarikh pilihan raya, Rafizi memberi tiga sebab mengapa beliau menentang pilihan raya umum ketika negara sering dilanda banjir pada musim tengkujuh akhir tahun. 

Beliau berkata tumpuan kerajaan termasuk kerajaan negeri dan agensi kerajaan perlu diberikan kepada persiapan banjir. Ia kini dialihkan kepada politik.

Beliau juga berkata wang diperuntukkan untuk mengadakan pilihan raya yang dianggarkan RM1 bilion itu lebih baik jika disalurkan untuk membantu rakyat berdepan banjir dan akhir sekali ratusan ribu penjawat awam yang sepatutnya ditugaskan untuk bantuan banjir terpaksa diarahkan untuk bertugas pada pilihan raya.

Rafizi berkata desakan Umno untuk mengadakan pilihan raya umum semasa musim banjir adalah kerana mereka “melihat banjir sebagai batu loncatan untuk merampas kuasa di Putrajaya”.

“Saya khuatir kesejahteraan ratusan ribu keluarga yang akan terjejas akibat banjir,” katanya sambil merayu rakyat Malaysia menandatangani petisyen untuk menunjukkan bantahan mereka.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan selepas mesyuarat malam tadi memberitahu pemberita Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan menghadap Yang di-Pertuan Agong tidak lama lagi untuk membentangkan beberapa tarikh yang mungkin untuk membubarkan Parlimen.

“Pembubaran Parlimen akan dibuat tidak lama lagi dan pilihan raya umum akan diadakan tahun ini,” tambah Ahmad.

The Malaysian Insight dalam laporan terdahulu menyatakan mesyuarat itu akan memutuskan tarikh berkemungkinan untuk pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum berkemungkinan pada November.

Mesyuarat Parlimen seterusnya bermula pada Isnin hingga 29 November, dengan Bajet 2023 akan dibentangkan pada Jumaat tetapi secara meluas Parlimen dijangka akan dibubarkan seawal 12 Oktober. – 1 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen