Pejabat Konsulat Russia di New York disimbah cat merah


Seorang lelaki melihat bangunan luar Pejabat Konsulat Russia di New York yang disimbah cat merah, sebagai protes terhadap Presiden Vladimir Putin. – Gambar AFP, 1 Oktober, 2022.

PEJABAT Konsulat Russia di New York disimbah cat merah, dalam protes yang jelas ketika Presiden Vladimir Putin meneruskan pencerobohan terhadap Ukraine dan mengumumkan pemilikan empat wilayah di negara itu.

Pihak berkuasa berkatamereka menjawab panggilan kecemasan awal pagi Jumaat, selepas bahagian luar bangunan konsulat di Upper East Side Manhattan disimbah cat merah.

Jurucakap polis New York berkata siasatan sedang dijalankan dan setakat ini tiada tangkapan dibuat.

Perbuatan vandalisme itu berlaku beberapa jam sebelum Putin mengisytiharkan pengilhakan empat wilayah Ukraine iaitu Donetsk, Luhansk, Zaporizhzhia dan Kherson.

Serangan juga membunuh sekurang-kurangnya 30 orang di wilayah selatan Ukraine Zaporizhzhia –satu daripada serangan terburuk terhadap orang awam dalam beberapa bulan.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky turut menggesa pakatan tentera NATO mempercepatkan keahlian Ukraine, ketika pemimpin antarabangsa termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengecam pengilhakan Moscow.

Rosie Morse, seorang pesara yang tinggal di kawasan kejiranan berhampiran konsulat, berkata vandalisme itu “kelihatan seperti karya seni”.

“Tetapi maksudnya adalah untuk meluahkan perasaan kami mengenai Putin, dan saya tidak boleh kata saya tidak bersetuju.

“Ia vandalisme tetapi ia adalah ungkapan bagaimana penduduk New York menyedari Putin membunuh orang,” kata rakannya, Romen Eaulin. – AFP, 1 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen