Nicaragua larang duta AS masuk


Naib Presiden Nicaragua Rosario Murillo berkata duta baharu AS Hugo Rodriguez dilarang masuk ke negara itu kerana membuat komen biadab. – Gambar EPA, 1 Oktober, 2022.

NICARAGUA berkata duta Amerika Syarikat (AS) yang baru dilantik tidak akan dibenarkan masuk ke negara itu kerana sikapnya yang suka “campur tangan”.

Duta Hugo Rodriguez tidak akan dibenarkan masuk ke Nicaragua, kata Naib Presiden Rosario Murillo yang juga isteri Presiden Daniel Ortega dan Wanita Pertama.

Senat AS mengesahkan pelantikan Rodriguez pada Khamis, walaupun Nicaragua pada Julai berkata ia akan menolak pelantikan itu.

Rodriguez didakwa membuat kenyataan dan komen yang biadap dalam satu persidangan di hadapan Senat.

Beliau menyifatkan Nicaragua sebagai negara pariah di rantau itu dan kerajaan Ortega “diktator”.

“Saya akan memberi sokongan menggunakan ekonomi dan diplomatik untuk membawa perubahan dalam hala tuju Nicaragua,” katanya kepada Senat.

Antara langkah yang disyorkan ialah mengeluarkan Nicaragua daripada Perjanjian Perdagangan bebas Republik Dominican-Amerika tengah.

Murillo yang juga jurucakap kerajaan menyelar kenyataan itu sebagai campur tangan yang biadap, dan tidak diplomatik. – AFP, 1 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen