Rampasan kuasa lagi di Burkina Faso


Tentera berkawal di kawasan istana presiden susulan bunyi ledakan senjata yang mengejutkan orang ramai di Ouagadougou. – Gambar EPA, 1 Oktober, 2022.

PEGAWAI tentera menggulingkan pemimpin junta di Burkina Faso, dalam rampasan kedua berlaku di negara itu tahun ini.

Tentera mengisytiharkan penyingkiran Leftenan Kolonel Paul-Henri Sandaogo Damiba, yang memimpin negara itu menerusi satu rampasan kuasa pada Januari.

Pengumuman dibuat menerusi satu kenyataan yang dibacakan di stesen televisyen negara.

Tentera yang memberontak turut mengumumkan penutupan sempadan bermula tengah malam, serta penggantungan sementara perlembagaan dan pembubaran kerajaan.

Mereka mengisytiharkan Kapten Ibrahim Traore sebagai pemimpin baharu negara itu.

Kira-kira 15 tentera tampil di siaran televisyen kira-kira 8 malam waktu tempatan.

“Kami memutuskan untuk melaksanakan tanggungjawab, dengan satu tujuan – mengembalikan keselamatan dan integriti negara ini,” kata mereka.

Perintah berkurung turut diumumkan bermula 9 malam hingga 5 pagi.

Amerika Syarikat berkata ia sangat bimbang dengan keadaan di Ouagadougou dan menasihati rakyatnya untuk menghadkan pergerakan di negara itu.

Bunyi ledakan senjata turut didengar di sekitar istana presiden dan ibu pejabat junta, kata saksi.

Peralihan kerajaan itu yang digerakkan oleh Damiba dan pasukannya, dikatakan berpunca daripada krisis dalaman dalam tentera. – AFP, 1 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen