China gesa masyarakat antarabangsa fokus isu pembangunan sosial 


Wakial China ke PBB berkata ia merupakan kunci bagi merungkai segala masalah membabitkan sosioekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat. – Gambar EPA, 30 September, 2022.

CHINA menyeru masyarakat antarabangsa mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan kerjasama bagi mengatasi masalah pembangunan, kata Timbalan Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dai Bing.

Beliau berkata pembangunan menjadi tunjang keamanan dan kestabilan, serta kunci bagi merungkai segala masalah membabitkan sosioekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat.

“Pemulihan ekonomi global pada ketika ini terbantut kerana pandemik yang masih berlarutan, konflik serantau belum reda, ditambah pula krisis bekalan makanan dan tenaga yang memburukkan lagi situasi semasa.

“Diakui bahawa cabaran getir bakal dihadapi negara-negara apabila bergerak menuju ke arah merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk dicapai menjelang 2030.

“Untuk itu, perlunya diperkasakan kerjasama antara satu sama lain, dan perhatian difokuskan pada isu-isu pembangunan,” katanya semasa berucap pada sesi Debat Umum mengenai isu pembangunan sosial Jawatankuasa Ketiga Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-77, di New York pada Khamis.

Beliau turut menyifatkan multilateralisme sebagai asas kepada tatanan (aturan) antarabangsa.

“Didepani masalah kekurangan sumber pembangunan di peringkat global, semua negara harus mematuhi prinsip berunding bersama, membangun bersama dan berkongsi, selain saling melengkapi dan membantu antara satu sama lain,” kata Dai.

Dalam pada itu, beliau menggesa negara maju supaya menggalas tanggungjawab dan menyalurkan lebih banyak sumber pembangunan kepada negara membangun untuk meningkatkan kemampuan negara berkenaan dalam pembangunan mandiri. – Bernama, 30 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen