Penumpang cedera, pemberontak Myanmar tembak pesawat 


Pesawat Myanmar National Airlines ditembak ketika mendarat di Loikaw, ibu negara timur Kayah.– Gambar EPA, 30 September, 2022.

SEORANG penumpang dalam penerbangan domestik Myanmar terkena tembakan di muka pada Jumaat apabila pemberontak melepaskan tembakan ke arah pesawat itu ketika ia mendarat, kata junta tentera negara itu.

Peluru melepasi badan pesawat Myanmar National Airlines ketika ia mendarat dengan membawa 63 orang ke Loikaw, ibu negara timur Kayah.

Myanmar bergolak sejak rampasan kuasa tentera menggulingkan kerajaan awam Aung San Suu Kyi pada Februari tahun lalu, dengan ribuan orang terbunuh dalam tindakan keras terhadap pembangkang.

Pemberontak anti-rampasan kuasa telah muncul di seluruh negara untuk memerangi junta, di beberapa kawasan yang bersekutu dengan militan etnik tempatan yang telah berkonflik dengan pihak berkuasa selama beberapa dekad.

Pesawat itu, yang terbang dari ibu negara Naypyidaw, diserang pada ketinggian sekitar 1,000 meter (3,280 kaki), kira-kira enam kilometer (3.7 batu) di utara lapangan terbang Loikaw pada pagi Jumaat, kata junta dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu menyalahkan pejuang dari pemberontak anti-junta dan Parti Progresif Kebangsaan Karenni, yang merupakan tentera pemberontak etnik, berhubung insiden itu.

“Seorang penumpang di dalam pesawat cedera di pipi kanan kerana terkena tembakan,” kata kenyataan itu.

“Penumpang yang cedera kini diberi rawatan di Hospital Rakyat Loikaw dan pasukan keselamatan sedang melakukan proses keselamatan di kawasan serangan berlaku.”

Lebih 2,300 orang telah terbunuh dan 15,000 ditangkap dalam tindakan keras tentera terhadap perbezaan pendapat sejak rampasan kuasa, menurut kumpulan pemantau tempatan. – AFP, 30 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen