India jadi tuan rumah MotoGP pada 2023 


Perlumbaan MotoGP India dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Buddh di Uttar Pradesh, di selatan New Delhi.– Gambar EPA, 30 September, 2022.

INDIA akan menjadi tuan rumah bagi perlumbaan MotoGP buat kali pertama mulai 2023, kata penganjur pada Jumaat. 

Penganjuran itu sebagai usaha untuk memperluaskan penonton ke negara yang mempunyai 1.4 bilion penduduk itu.

Perlumbaan sulung itu dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Buddh di Uttar Pradesh, di selatan New Delhi.

Litar itu pernah menjadi tuan rumah kepada Formula Satu, mengadakan tiga grand prix F1 antara 2011 dan 2013.

“Kami mempunyai ramai peminat di India dan kami teruja untuk dapat membawa sukan itu kepada mereka,” kata Ketua Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta dalam satu kenyataan.

“India juga merupakan pasaran utama untuk industri motosikal dan oleh itu, MotoGP akan menjadi kemuncak dunia dua roda.”

Dengan populasi yang ramai dan lebih 200 juta motosikal, pihak berkuasa India berharap acara itu dapat membawa ledakan pelaburan asing.

Menteri sukan Anurag Thakur memuji pengumuman itu sebagai hari bersejarah bagi sektor sukan negaranya.

Ketua Menteri Uttar Pradesh Yogi Adityanath, menambah: “Adalah satu kebanggaan besar bagi Uttar Pradesh untuk menganjurkan acara global seperti itu.” – AFP, 30 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen