Iran tahan bekas pemain bola sepak kerana sokong protes 


Protes yang tercetus di Iran susulan kematian dalam tahanan wanita Kurdish Mahsa Amini selepas ditahan polis, kini menular ke beberapa negara lain.– Gambar EPA, 30 September 2022.

PIHAK berkuasa Iran pada Jumaat menahan seorang bekas pemain bola sepak atas sokongannya terhadap protes atas kematian dalam tahanan wanita Kurdish Mahsa Amini, lapor media kerajaan.

Gelombang pergolakan telah menggegarkan Iran sejak wanita berusia 22 tahun itu meninggal dunia pada 16 September selepas ditahan oleh polis moral di Tehran kerana didakwa gagal mematuhi peraturan pakaian ketat republik Islam itu terhadap wanita.

Keganasan jalanan telah menyebabkan puluhan nyawa terkorban—kebanyakan penunjuk perasaan tetapi juga anggota pasukan keselamatan—dan ratusan penangkapan.

“Bekas pemain Persepolis FC Hossein Maahini telah ditangkap atas perintah pihak berkuasa kehakiman kerana menyokong dan menggalakkan rusuhan di laman media sosialnya,” kata agensi berita negara IRNA.

Pada hari Khamis, gabenor wilayah Tehran, Mohsen Mansouri memberi amaran kepada selebriti supaya tidak tampil menyokong protes itu.

“Kami akan mengambil tindakan terhadap selebriti yang telah menyemarakkan api rusuhan,” agensi berita ISNA memetik beliau sebagai berkata.

Rabu lalu, agensi berita Iran Mehr berkata bekas pengacara televisyen negara Mahmoud Shahriari telah ditangkap kerana didakwa “menggalakkan rusuhan dan bersolidariti dengan musuh”.

Beberapa ahli sukan Iran serta pelakon dan penerbit filem telah meletakkan sokongan mereka di sebalik pergerakan itu, meminta pihak berkuasa mendengar tuntutan rakyat.

Pengarah Iran yang memenangi Oscar dua kali, Asghar Farhadi pada hari Ahad menggesa orang ramai di seluruh dunia untuk “bersolidariti” dengan penunjuk perasaan. – AFP, 30 September 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen