Mayat dikaitkan dengan bot karam di Kemboja ditemui 


Tujuh mayat dipercayai mangsa terlibat dalam kejadian bot karam di pantai Kemboja ditemui terapung di selatan pulau Phu Quoc Vietnam hari ini. – Gambar AFP, 30 September, 2022. 

TUJUH mayat dipercayai mangsa terlibat dalam kejadian bot karam di pantai Kemboja ditemui terapung di selatan pulau Phu Quoc Vietnam, kata media kerajaan hari ini.

Kapal yang membawa 41 warga China itu berdepan masalah berhampiran hab kasino Kemboja di Sihanoukville minggu lalu.

Ia membawa pendatang dari China yang dijanjikan bekerja.

Seramai 30 mangsa diselamatkan di perairan Kemboja dan Vietnam manakala tiga daripada pendatang ditemui maut, kata pihak berkuasa sebelum ini

Menjelang lewat semalam sebanyak tujuh mayat direkodkan hanyut ke pantai Bai Truong di Pulau Phu Quoc, menurut akhbar rasmi Kementerian Keselamatan Awam Vietnam.

Laporan itu menyebut dua mayat ditemui bersama kad pengenalan China dan keadaannya yang reput “juga agak konsisten dengan masa bot karam berlaku, seminggu lalu di laut Kemboja, tidak jauh dari Phu Quoc”.

Polis dan pegawai di pulau itu enggan mengulas ketika dihubungi AFP.

Sihanoukville merupakan sebuah perkampungan nelayan yang sunyi sebelum ini berubah setelah pelaburan besar-besaran dari China sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang membuka puluhan kasino.

Tetapi semakin banyak laporan menyatakan pekerja-pekerja China diperdagangkan atau diseludup untuk bekerja di bandar itu secara haram.

Pihak berkuasa Kemboja cuba membanteras rangkaian pemerdagangan manusia berikutan laporan meluas tentang orang dari negara Asia Tenggara lain yang ditipu untuk berhijrah mencari peluang pekerjaan yang disifatkan sebagai menguntungkan. – AFP, 30 September, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen