Penjaja terkesan kenaikan inflasi


Khoo Gek San

Peniaga kecil mengeluh dengan kenaikan kos barang keperluan yang menyebabkan pengguna lebih berjimat cermat dalam berbelanja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2022.

PENJAJA turut merasai kesan tekanan inflasi susulan kenaikan kos bahan sebanyak 15%, kata pemilik perniagaan.

Lebih memburukkan keadaan apabila orang ramai juga mengamalkan sikap berjimat dalam berbelanja, kata mereka.

Naib Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Kuala Lumpur Muhamad Baba Kutty berkata harga yang melambung tinggi menyebabkan sukar untuk mengekalkan perniagaan.

“Semua harga naik tetapi kerajaan tidak dapat mengawal kenaikan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Perniagaan sekarang lebih sukar berbanding dahulu. Segala-galanya, daripada kelapa, telur dan sayur-sayuran kini lebih mahal.

“Orang ramai pula lebih berhati-hati apabila mengunjungi gerai penjaja. Mereka mengelak membeli makanan tertentu seperti ikan dan memilih membeli makanan lebih murah.”

Baba berkata kos operasi meningkat sebanyak 15%.

“Ia diburukkan lagi dengan kenaikan faedah dan kekurangan pelancong, dengan hanya warga Indonesia, Thailand dan India yang masuk.”

Justeru, lebih baik Malaysia mengadakan pilihan raya umum tidak lama lagi supaya pelabur asing kembali yakin terhadap Malaysia, katanya.

“Kerajaan perlu mengumumkan tarikh pilihan raya secepat mungkin, bagi menanam lebih keyakinan di kalangan rakyat dan pelabur asing. Kerajaan sekarang tidak stabil.”

Perubahan tabiat penggunaan

Tan Meng Lee, presiden Persekutuan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil berkata perniagaan tidak bertambah baik bagi penjaja selepas pandemik.

“Tiada langkah untuk merangsang penggunaan untuk meningkatkan perniagaan kami. Industri ini sensitif kepada sebarang jenis perubahan,” kata Tan.

“Malah tabiat penggunaan juga berubah, dengan orang ramai hanya membeli apa yang mereka perlukan dan tidak lagi membeli secara pukal.

“Penjaja di wilayah selatan menyaksikan peningkatan susulan pelanggan dari Singapura, tetapi perkara yang sama tidak boleh berlaku di seluruh negara, di mana ada yang hampir tidak dapat memenuhi keperluan hidup.”

Dengan musim tengkujuh hampir tiba, Tan berkata mereka yang berada di pantai timur akan terjejas teruk.

Perniagaan di utara dan selatan bertambah baik

Presiden Persatuan Peniaga Kecil Pulau Pinang Ooi Thean Huat berkata inflasi mendorong kenaikan kos sebanyak 40%.

“Semasa pandemik, kami masih boleh mengekalkan perniagaan. Tetapi ia lebih sukar sekarang,” kata Ooi.

Sebagai destinasi pelancongan, Pulau Pinang menyaksikan jumlah pengunjung yang tinggi.

Jumlah pelancong yang tinggi ditambah pula dengan kekurangan tenaga kerja bermakna penjaja di negeri ini tidak lagi mampu memberikan perkhidmatan sepatutnya, kata beliau.

Pelanggan perlu beratur, memesan dan menunggu makanan disediakan.

Peniaga buah-buahan dan makanan laut juga melihat jumlah perniagaan yang rendah apabila pelanggan mengurangkan perbelanjaan, katanya.

“Orang ramai tidak banyak berbelanja untuk ayam, ikan, udang dan buah-buahan.”

Penjaja di Pulau Pinang juga melaraskan harga antara 50 sen hingga RM1 bagi menampung inflasi.

“Semangkuk mi dulu berharga RM5, kini berharga RM5.50.”

Ooi berkata penjaja akan berhati-hati dalam menaikkan harga kerana ia boleh menyebabkan pelanggan lari, sambil menambah harga akan dikekalkan selagi pembekal tidak menaikkan kos mereka.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Johor Selatan Yow Boon Choon berkata perniagaan di sana berkembang maju susulan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

“Sebelum 1 April, kami dapat RM200 sehari, kini kami boleh mendapat RM700 sehari,” kata Yow.

“Pada hujung minggu, ia boleh meningkat sehingga RM1,000 hingga RM2,000. Walaupun jumlahnya tinggi tetapi dari segi keuntungan kami tidak banyak kerana kos menjalankan perniagaan tinggi.”

Bagaimanapun, beliau berterima kasih kepada penduduk tempatan yang bekerja di Singapura dan pelawat dari republik itu yang membolehkan penjaja terus bertahan.

“Dolar Singapura lebih tinggi daripada ringgit, jadi ia murah bagi mereka.” – 1 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen