PM jamin tindakan lebih agresif selamatkan rakyat Malaysia terbabit pemerdagangan manusia


PM Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Luar Negeri dan KDN sudah diarah mengambil tindakan segera dan lebih agresif bagi menangani isu rakyat Malaysia terbabit pemerdagangan manusia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kerajaan akan mengambil tindakan terbaik bagi menyelesaikan isu pemerdagangan manusia melibatkan rakyat Malaysia di beberapa negara Asean.

Beliau berkata menerima beberapa video laman media sosial TikTok mengenai kes berkenaan, dan menghantar video berkenaan kepada Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani untuk tindakan lanjut.

“Suka saya maklumkan bahawa kerajaan serius untuk menyelesaikan isu ini. Perkara ini telah dibincangkan di dalam mesyuarat Kabinet bulan lepas.

“Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Dalam Negeri telah diarah mengambil tindakan segera dan lebih agresif,” katanya menerusi akaun Facebooknya.

Ismail Sabri dalam pada itu turut memuat naik tangkap layar video TikTok Setiausaha Agung Pertubuhan Kemasyarakatan Antarabangsa Malaysia Hishamuddin Hashim, yang merayu kerajaan mengambil tindakan segera berhubung perkara berkenaan.

Hishamuddin dalam video berdurasi 9.34 minit berkenaan yang dikongsi melalui akaun TikToknya, mahu supaya kerajaan membantu kedutaan Malaysia terutama di Laos, Kemboja dan Myanmar, dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terperangkap di bawah sindiket pemerdagangan manusia.

Beliau turut merayu kerajaan meluluskan peruntukan khas kepada ketiga-tiga kedutaan bagi membantu pengurusan logistik dan kakitangan, termasuk memastikan kakitangan mencukupi selepas ketiga-tiga kedutaan itu terpaksa berkerja 24 jam bagi menjejak rakyat Malaysia yang masih terkandas di sana. – Bernama, 29 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen