PENYANYI punk rock Dominik Wlazny yang juga pengasas Parti Bir Austria berazam untuk menggegarkan perlumbaan presiden negara itu yang dikuasai ahli politik yang kebanyakannya disokong parti terlibat skandal rasuah.
Wlazny, 35, merupakan calon presiden pertama dari Parti Bir, dan akan bertanding menentang enam yang lain termasuk penyandang Alexander Van der Bellen.
Beliau menyifatkan kempennya sebagai “pertarungan antara David dan Goliath”, dengan Van der Bellen secara meluas dijangka akan diberi mandat sekali lagi.
Bagaimanapun Wlazny berharap dapat menarik kebanyakan pengundi, yakin dengan pendekatan tidak konvensional partinya terhadap politik.
Matlamat parti itu antara lain dengan memasang air pancut bir di ibu negara, berkata dalam proposal kepada bandar itu yang ia boleh “meningkatkan kualiti hidup” penduduk selain dapat menarik pelancong.
Kempen presiden Wlazny, yang digelar “Jom kita bincang”, turut mengangkat isu kesaksamaan jantina dan kebajikan haiwan, antara lain.
Mesejnya juga tidak konvensional, menghantar kemas kini melalui klip satira dalam talian, malah Wlazny berkata rayuannya adalah kepada sesiapa sahaja yang “mempunyai keinginan untuk berubah”.
“Bir adalah perkara yang hebat. Tetapi sebenarnya ia mengenai bagaimana anda boleh terlibat, dan anda tidak perlu menjadi peminum bir untuk itu,” kata Wlazny, lebih dikenali dengan nama pentasnya Marco Pogo, kepada AFP. – AFP, 29 September, 2022.
Komen