Lelaki bersenjata bunuh 6 anggota polis di Mexico 


ENAM pegawai polis maut selepas dibunuh lelaki bersenjata di utara Mexico yang menjadi perebutan kartel untuk laluan pengedaran dadah, kata pihak berkuasa. 

Lima daripada pegawai itu ditembak mati ketika menjalani latihan di sebuah pusat sukan di Calera de Victor Rosales, kata kerajaan negeri Zacatecas.

Dua lagi pegawai ditembak selepas tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian, seorang daripadanya meninggal dunia, menurut satu kenyataan.

Gabenor Zacatecas David Monreal mengutuk apa yang disifatkannya sebagai “serangan pengecut” dan mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan dan rakan sekerja mangsa.

Keganasan meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini di Zacatecas, dengan pakar-pakar memetik perang antara kartel Sinaloa dan kartel Generasi Baharu Jalisco untuk mengawal laluan penyeludupan dadah ke Amerika Syarikat.

Pada Januari, 10 mayat ditemui dalam sebuah kenderaan utiliti sukan yang ditinggalkan di hadapan istana gabenor di ibu negeri Zacatecas.

Di seluruh negara, lebih 340,000 orang telah terbunuh dalam gelombang pertumpahan darah sejak kerajaan mengerahkan tentera untuk memerangi kartel dadah pada 2006. – AFP, 29 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen