Taufan Ian badai Florida


Taufan Ian membadai pantai barat Florida dengan kekuatan Kategori 4 pada Rabu. – Gambar AFP, 29 September, 2022.

PANTAI barat Florida dibadai Taufan Ian dengan kekuatan Kategori 4 yang disifatkan amat berbahaya pada Rabu, menghasilkan deruan angin, hujan lebat dan gelombang ombak laut yang berbahaya.

Menurut pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS), kira-kira 20 migran dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka karam. Empat warga Cuba berjaya berenang ke pantai kepulauan Florida Keys, manakala tiga lagi berjaya diselamatkan pasukan pengawal pantai.

Sementara itu, Pusat Taufan Nasional (NHC) berkatan Taufan Ian membadai Pulau Cayo Costa di barat bandar Fort Myers pada kira-kira jam 3 petang Rabu.

NHC berkata Taufan Ian membawa angin kencang berkelajuan maksimum 240 km sejam ketika ia membadai semenanjung Florida.

Taufan Ian membawa angin kencang berkelajuan maksimum 240 km sejam.– Gambar AFP, 29 September, 2022.

Rakaman yang disiarkan televisyen menunjukkan bandar pesisir Naples dilanda banjir, menyebabkan kediaman berhampiran pantai dan jalan raya tenggelam, serta menghanyutkan kenderaan.

Sebahagian kawasan kejiranan di Fort Myers yang mempunyai lebih 80,000 penduduk kelihatan seperti tasik akibat ditenggelami air.

Gabenor Florida Ron DeSantis berkata lebih 1.1 juta penduduk dilaporkan terputus bekalan elektrik, dan angka itu dijangka meningkat. Hampir seluruh tiga daerah yang terawal dilanda taufan terputus bekalan elektrik, katanya.

Taufan Ia diramal menjejaskan beberapa juta penduduk di seluruh Florida, selain Georgia dan Carolina Selatan.

Peramal kaji cuaca memberi amaran taufan itu boleh mencetus malapetaka yang berlaku sekali dalam satu generasi. – AFP, 29 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen