India haram organisasi Islam terkemuka


Pejabat pertubuhan Islam terkemuka Popular Front of India diserbu pihak berkuasa India minggu lepas. – Gambar EPA, 29 September, 2022.

KERAJAAN India mengharamkan sebuah pertubuhan Islam terkemuka kerana didakwa melakukan “aktiviti menyalahi undang-undang.”

The Popular Front of India (PFI) dan sekutunya telah diharamkan selama lima tahun, menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri bertarikh 27 September.

PFI dan sekutunya atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengan pertubuhan itu telah terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang, yang memudaratkan integriti, kedaulatan dan keselamatan negara serta berpotensi mengganggu ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat serta menyokong militan di negara ini,” menurut kerajaan India.

Kumpulan berkaitan PFI termasuk Rehab India Foundation, Campus Front of India, All India Imams Council, National Confederation of Human Rights Organisation (NCHRO) dan National Women’s Front.

Keputusan itu dibuat selepas penahanan pemimpin dan anggotanya di kebanyakan negeri termasuk Kerala, Maharashtra, Tamil Nadu, Karnataka, Andhra Pradesh, Rajasthan, Uttar Pradesh dan Telangana sejak beberapa hari kebelakangan ini.

PFI, memaklumkan bahawa pertubuhannya berfungsi untuk menyuarakan hak orang Islam dan masyarakat kurang bernasib baik di negara ini.

Kumpulan nasionalis Hindu bertahun-tahun berkempen untuk mengharamkan PFI yang kini berusia 15 tahun.

Pada Selasa, kumpulan itu mendakwa “penahanan besar-besaran” sedang berlaku di negeri yang diperintah Parti Bharatiya Janata (BJP).

“Ini tidak lain bertujuan menghalang hak untuk mengadakan protes demokratik terhadap kerajaan yang menyasarkan PFI,” menurut PFI. – Bernama, 29 September, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen