Mangsa peras ugut seks disaran segera lapor kepada polis


Angie Tan

'Sextortion' adalah aktiviti di mana pemeras ugut akan mengancam untuk menyebarkan gambar atau video lucah mangsa sekiranya permintaan mereka tidak dipenuhi. – Gambar AFP, 29 September, 2022.

MANGSA atau ‘sextortion’ atau aktiviti peras ugut seks dinasihatkan supaya tidak membayar wang kepada pengugut, sebaliknya melaporkan terus kepada polis supaya tindakan yang sewajarnya dapat diambil, kata pakar.

Ini kerana sindiket akan terus mengugut mangsa walaupun jumlah wang yang dituntut telah dibayar, menurut mereka.

Sextortion’ adalah aktiviti di mana pemeras ugut akan mengancam untuk menyebarkan gambar atau video lucah mangsa sekiranya permintaan mereka tidak dipenuhi.

Baru-baru ini, seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun dilapor membunuh diri selepas diugut supaya membayar RM1,000 selepas menghantar video bogelnya kepada seorang wanita dipercayai anggota sindiket peras ugut seks.

Wanita itu difahamkan terus mengugut mangsa walaupun bayaran telah dibuat. Mangsa kemudian diugut supaya membayar lagi RM2,000 atau video bogelnya disebarkan dalam talian.

Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Low Guo Nan memberitahu The Malaysian Insight, sekurang-kurangnya satu atau dua mangsa datang ke pejabatnya setiap bulan bagi mendapatkan bantuan selepas menjadi mangsa sindiket peras ugut seks.

“Mangsa paling muda masih remaja, manakala yang paling tua berusia 50-an. Sindiket meminta bayaran RM5,000 hingga RM6,000.

“Membayar wang kepada sindiket ini tidak akan menyelesaikan masalah kerana mereka akan terus mengugut mangsa.

“Apa yang orang ramai perlu lakukan ialah menyekat panggilan, membuat laporan polis dan bersiap sedia dari segi mental jika video disebarkan dalam talian,” katanya.

Menurut Low, salah mangsa peras ugut seks baru-baru ini membabitkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun.

“Mujurlah kanak-kanak itu beritahu keluarganya kerana sesetengah budak akan takut dimarahi ibu bapa.

“Dalam hal ini keluarga memainkan peranan penting supaya mangsa tahu mereka ada tempat untuk mengadu,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam DAP Kuala Lumpur Yew Jia Haur berkata sindiket peras ugut seks sebenarnya sudah lama wujud.

“Malah ada kes dilaporkan semasa semasa sekatan pergerakan ketika kemuncak wabak Covid-19,” kata Yew.

Menurutnya, sindiket biasanya menghantar mesej kepada mangsa di media sosial.

Penjenayah siber akan menghubungi mangsa menerusi platform temu janji dan seks dalam talian sebelum meminta mereka memuat turun aplikasi mudah alih melalui pautan untuk menyertai kumpulan sembang porno.

Aplikasi tersebut direka khusus untuk menyalin senarai kenalan dari telefon mangsa.

Selepas itu, sindiket akan mengugut mangsa supaya membayar sejumlah wang sekiranya tidak mahu video bogel mereka dihantar kepada ahli keluarga dan rakan.

Mangsa hanya akan tahu apa yang berlaku apabila dimaklumkan video mereka tersebar, dan ketika inilah peras ugut pun bermula, kata Yew.

Beliau berkata dalam keadaan ini mangsa perlu segera menghubungi polis, menukar nombor telefon dan memadan semua akaun sosial mereka.

Menurut Yew, mangsa peras ugut seks yang pernah dibantunya berumur antara 14 hingga 60 tahun. – 29 September, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen