Hannah Yeoh gesa menteri pendidikan kaji mengapa ramai pilih sekolah Cina


Elill Easwaran

Pada masa ini Malaysia mempunyai sejumlah 5,877 kebangsaan, 1,302 (vernakular Cina) dan 527 (vernakular Tamil). – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September 2022.

HANNAH Yeoh hari ini berkata menteri pendidikan perlu mengkaji mengapa sekolah vernakular Cina semakin popular di kalangan orang bukan Cina.

Dalam temu bual dengan Sinar Harian, ahli Parlimen Segambut itu berkata peratusan kaum India dan Melayu yang memasuki sekolah tersebut semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu.

“Kementerian Pendidikan mesti cari punca mengapa ini berlaku,” katanya sebagaimana dipetik.

Yeoh berkata semasa zaman beliau belajar, sekolah jenis kebangsaan menjadi pilihan utama tetapi zaman sudah berubah, dengan sekolah vernakular Cina kini menjadi pilihan utama.

“Standard di sekolah kebangsaan semakin menurun dan kementerian harus menelitinya.

“Daripada berhujah mengenai penutupan sekolah vernakular, kita harus menjadikan ia sebagai contoh dan menjadikan sekolah kebangsaan lebih baik,” katanya.

Pada masa ini Malaysia mempunyai sejumlah 5,877 kebangsaan, 1,302 (vernakular Cina) dan 527 (vernakular Tamil).

Bulan lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon berkata penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah vernakular di seluruh negara bertambah baik sejak beberapa tahun lalu.

“Secara amnya, penguasaan bahasa Melayu (di kalangan pelajar sekolah vernakular) semakin baik.”

Bagaimanapun minggu lepas, beliau berkata sebanyak 3,017 sekolah rendah di negara ini dikategorikan sebagai sekolah kurang murid, dengan kurang 150 murid bagi setiap satunya.

Daripada 3,017 sekolah rendah, 2,034 adalah kebangsaan, 616 (vernakular Cina) dan 367 (vernakular Tamil). – 28 September 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen